E-CAP bantu PKS kekal beroperasi
Fauzi Suhaimi
April 23, 2020 12:32 MYT
April 23, 2020 12:32 MYT
Kementerian Kewangan menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP) bermula 23 April.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, program tersebut bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang layak.
Beliau berkata, buat masa ini, hanya PKS yang berdaftar dengan KWSP sahaja layak memohon penangguhan caruman majikan untuk jangka masa sehingga tiga bulan berdasarkan kriteria tertentu.
"Usaha ini bagi membantu majikan untuk terus kekal beroperasi, mengekalkan pekerjaan kepada pekerja serta selaras dengan program rangsangan ekonomi negara.
"Antara kriteria tersebut ialah majikan berada dalam kategori PKS dan menggajikan 200 pekerja dan ke bawah serta keseluruhan bayaran caruman setakat Februari 2020 (upah bulan Januari 2020) adalah teratur.
"Selain itu majikan juga telah membayar caruman syer pekerja sepenuhnya pada bulan permohonan yang dibuat," katanya menerusi satu ciapan di akaun Twitter miliknya pada Khamis.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, majikan yang ingin membuat permohonan boleh mendaftarkan dengan KWSP untuk membuat bayaran penstrukturan semula menerusi tiga saluran berikut.
"Saluran pertama menerusi I-Akaun (Majikan) atau menggunakan kaunter KWSP serta kaunter bank yang dilantik KWSP.
"Pelan penstrukturan semula ini akan berakhir pada 30 Disember depan," jelas beliau.
#COVID-19
#ekonomi
#Kementerian Kewangan
#Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
#KWSP
#perusahaan kecil dan sederhana
#PKS
#Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
#Twitter