Duta EU: FTA kukuhkan dua hala

Bernama
November 27, 2012 11:06 MYT
Langkah memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan perjanjian perkongsian dan kerjasama (PCA) antara Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia pada tahun depan, akan mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dan perniagaan antara kedua-dua ekonomi.
Duta EU dan Ketua Delegasi yang baharu ke Malaysia, Luc Vandebon berkata FTA dan PCA akan menangani banyak bidang yang boleh dipertingkatkan seperti akses pasaran, lebih bersikap terbuka dari kedua-dua pihak dan peningkatan kemudahan perdagangan, katanya.
Semasa hubungan dua hala meningkat dengan pantas, yang merangkumi pelbagai bidang, katanya satu kerangka yang betul seperti PCA diperlukan untuk menguruskan kesemua aspek yang kini menjadi sebahagian daripada hubungan dua hala secara jelas dan harmoni.
Katanya FTA berkenaan juga akan mengisi jurang yang ditinggalkan oleh Sistem Keistimewaan Am (GSP) yang berakhir pada Januari 2014 - iaitu satu skim yang diberikan kepada negara membangun yang mengalami kadar tarif yang dikurangkan atau import sifar ke EU.
Katanya terdapat banyak syarikat dan perniagaan di kedua-dua ekonomi yang mendapat manfaat dari GSP yang akan menerima kesan sebaik skim itu berakhir.
Kini, terdapat lebih 2,000 syarikat EU beroperasi di Malaysia dan banyak daripadanya terlibat di dalam sektor elektrik dan elektronik dan logam, katanya.
Vandebon berkata FTA dan PCA itu pada awalnya dimandatkan untuk dimuktamadkan menjelang tahun ini tetapi berhadapan masalah apabila perundingan mengenai perkara penting perjanjian itu memakan lebih banyak masa daripada jangkaan.
Di segi aspek masa, "kami tidak dapat memenuhinya tetapi pada masa yang sama, saya rasa perkara pokoknya lebih penting daripada kepantasan untuk memuktamadkannya," katanya.
Sambil mengakui bahawa krisis hutang zon Euro memberi kesan pada perdagangan dua hala antara EU dan Malaysia, katanya perdagangan keseluruhan merosot 24 peratus sehingga Ogos tahun ini.
FTA itu sebaliknya, memainkan peranan di dalam membetulkan keadaan, katanya.
Tahun lepas, perdagangan antara Malaysia dan EU berjumlah 32.9 bilion (kira-kira RM127.1 bilion) di mana Malaysia mengeksport 18 bilion (RM69.5 bilion) ke benua itu dan mengimport 14.9 bilion (RM57.6 bilion).
Vandebon berkata krisis di Eropah adalah berikutan kombinasi beberapa elemen yang berlaku pada masa yang sama dan memberi masalah terhadap rantau itu sehingga kepada keadaan semasa.
Hutang berlebihan, beberapa negara anggota mencatatkan pertumbuhan yang perlahan disebabkan kekakuan struktur, ketidakseimbangan prestasi ekonomi dan ketidakcukupan penyelarasan dasar ekonomi dan fiskal adalah antara faktor yang mendorong kepada krisis hutang zon Euro.
Bagaimana pun, beliau terus merasa yakin bahawa rantau itu akan dapat menangani masalah kerana kebanyakan negara di EU menunjukkan kemajuan di segi penyatuan fiskal.
"Kesemuanya dilihat mengambil langkah untuk merangsang keusahawanan, pelaburan, penyediaan pekerjaan dan kesemuanya bersetuju dilaksanakan strategi ke seluruh EU bagi mencatatkan pertumbuhan berasaskan inovasi, teknologi tinggi dan kelestarian alam sekitar.
"Apa yang penting ialah seseorang jangan lupa bahawa kami masih lagi ekonomi paling kukuh dengan adanya 500 juta pengguna yang kaya dengan purata keluaran dalam negara kasar per kapita sebanyak 25,000 (RM96,650)," katanya.
#EU #FTA #Kesatuan Eropah #Luc Vandebon #Malaysia #perdagangan
;