DUN Selangor lulus usul Rancangan Selangor Pertama

Bernama
Ogos 2, 2022 17:42 MYT
Amirudin pada akhir persidangan berkata kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan pembangkang termasuk menubuhkan jawatankuasa khas baharu bagi memantau pelaksanaan RS-1. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan usul projek pembangunan Rancangan Selangor Pertama 2021-2025 (RS-1) berjumlah RM212.44 bilion.
Speaker DUN Ng Suee Lim mengumumkan kelulusan usul tersebut setelah mendapat persetujuan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dibahas oleh 28 ADUN sejak Khamis lepas.
"Ahli-ahli (ADUN) dilihat sangat berminat untuk berbahas berkaitan usul tersebut dan mereka sangat aktif, kebiasaannya satu usul hanya lima atau enam orang sahaja.
"Mungkin ini disebabkan RS-1 tidak pernah dibentangkan, jadi ramai ahli (ADUN) ingin turut serta. Perkara ini juga merupakan satu sejarah, ramai yang ingin nama mereka tercatat dalam sejarah," katanya ketika ditemui pemberita selepas persidangan DUN Selangor hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pada akhir persidangan berkata kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan pembangkang termasuk menubuhkan jawatankuasa khas baharu atau melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) memantau pelaksanaan RS-1.
"Kita percaya kepada pemisahan kuasa, kita akan pisahkan di antara kuasa eksekutif dan legislatif serta dari situlah dapat dipraktikkan langkah terbaik dan rujuk apakah pelaksanaan projek.
"Kalau tak cukup, gunakan Jawatankuasa Kira-Kira Negeri (PAC) atau Selcat untuk semak perkembangan RS-1, dan ADUN mempunyai kebebasan dan kuasa penuh berbanding duduk di dalam eksekutif yang sedikit sebanyak bertentangan dengan semangat pemisahan kuasa," katanya.
Pada 27 Julai lepas, Amirudin membentangkan perancangan lima tahun RS-1 itu yang akan memberi fokus khusus terhadap pertumbuhan ekonomi, memberdaya rakyat melalui program kebajikan, pembangunan lestari, sistem dan perkhidmatan kerajaan yang cekap, telus serta efisien.
"Dengan itu, saya ingin mencadangkan dewan ini ditangguhkan ke suatu masa yang akan ditetapkan kelak dan dijangkakan sebagai Persidangan Belanjawan," katanya mengakhiri penggulungan perbahasan RS-1.
Persidangan DUN Selangor ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
-- BERNAMA
#DUN Selangor #Amirudin Shari #Rancangan Selangor Pertama #ADUN
;