DUN Perak lulus Bajet 2017, PAS pilih berkecuali

Bernama
November 21, 2016 23:57 MYT
Menteri Besar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Pangkor Datuk Seri Zambry Abdul Kadir ketika menjawab soalan di Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini meluluskan Enakmen Perbekalan atau Bajet Negeri Perak 2017 setelah dibahaskan empat hari oleh hampir kesemua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.
Terdahulu, semasa di peringkat dasar bajet itu diluluskan melalui undi belah bahagian selepas diminta oleh Nga Kor Ming (DAP-Kepayang) dan dibenarkan oleh Speaker S. Thangeswary.
Undi belah bahagian menyaksikan 31 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN menyokong, 23 daripada DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menolak manakala tiga ADUN PAS memilih berkecuali.
Bajet 2017 Perak berjumlah RM1.2 bilion dibentang pada 15 Nov lalu dengan defisit sebanyak RM129.7 juta ringgit, bertemakan 'Pertumbuhan dan Kesejahteraan'.
Persidangan hari ini turut meluluskan Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Perak 2016 susulan terdapat kes salah guna dan pemalsuan yang dilaporkan kebelakangan ini.
Rang undang-undang enakmen itu dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid serta disokong Maslin Sham Razman (BN-Bukit Chandan).
Mohamad Zahir berkata pembentangan rang undang-undang itu bertujuan memansuhkan Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Penggunaan Yang Tidak Betul) 1966 yang antara lain terdapat kelemahan dari segi hukuman.
"Undang-undang sedia ada tidak cukup untuk menangani isu salah guna lambang, anugerah, gelaran dan lambang yang semakin berleluasa ketika ini.
"Rang undang-undang ini telah dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dan pakar berkaitan," katanya.
Persidangan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian. -- Bernama
#Bajet 2017 #DUN Perak #Nga Kor Ming #Zambry Abdul Kadir
;