DUN Perak lulus Bajet 2016

Bernama
November 23, 2015 23:29 MYT
Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir membentangkan Plan Pembangunan Perak pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. - Gambar Bernama
Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini meluluskan Bajet Negeri Perak 2016 setelah dibahaskan selama lima hari oleh hampir kesemua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.
DUN Perak turut meluluskan Enakmen Wakaf (Perak) 2015, Enakmen Mineral (Perak) (Pindaan) 2015, Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 (Pindaan) 2015 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2016 berjumlah RM397,438,000.
Speaker Datuk Seri S.K Deevamany kemudian menangguhkan persidangan ke satu tarikh yang akan ditentukan kelak.
Dalam pada itu, semua anggota DUN Perak sebulat suara bersetuju untuk menangguhkan Rang Undang-undang Enakmen Pengurusan Pantai dan Badan Perairan Perak 2015.
Rang undang-undang itu bertujuan menyelaras pembangunan, mengurus aktiviti serta perkhidmatan di kawasan pantai dan badan perairan di Perak.
Terdahulu, lapan wakil rakyat membahaskan rang undang-undang itu yang dibentangkan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.
Mereka ialah Chang Lih Kang (PKR-Teja), Terence Naidu (DAP-Pasir Bedamar), Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin (AMANAH-Changkat Jering), Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan), Leong Cheok Keng (DAP-Malim Nawar), Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai, Mohamad Ziad Mohamed Zainol Abidin (BN-Manjoi) dan Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (BN-Slim).
Ketika menarik balik rang undang-undang berkenaan, Mohammad Zahir berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkan ia diperhalusi.
Enakmen yang dicadang itu mempunyai lima bahagian termasuk penubuhan majlis pengurusan pantai dan badan perairan, penyelarasan pengurusan dan pembangunan serta perlesenan terhadap aktiviti yang dijalankan.
#Bajet Negeri Perak 2016 #DUN Perak #S.K Deevamany
;