Dua syarikat China meterai perjanjian fasa kedua ECRL dan sambungan paip gas ke Pengerang

Bernama
Mei 13, 2017 16:35 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian persefahaman antara dua syarikat China dengan syarikat Malaysia. - Foto Bernama
Dua syarikat China hari ini menandatangani Perjanjian Persefahaman dengan syarikat Malaysia, masing-masing bagi melaksanakan fasa kedua projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan fasa kedua projek saluran paip gas dan petroleum ke Pengerang, Johor.
China Communications Constructions Company Limited China (CCCC) menandatangani perjanjian dengan Malaysia Railway Link Sdn Bhd (MRL) bagi sambungan laluan rel dari Gombak ke Pelabuhan Klang, membabitkan laluan sejauh 88 kilometer.
Manakala, China Petroleum Pipeline Engineering Co Ltd (CPP) menandatangani perjanjian dengan Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) bagi penyambungan paip dari Sungai Udang, Melaka ke Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang.
Kedua-dua syarikat MRL dan SSER itu adalah merupakan anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Malaysia.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Rahman Dahlan.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar menandatangani bagi pihak kedua-dua syarikat Malaysia.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Mohd Irwan berkata kedua-dua projek itu merupakan sambungan kepada fasa pertama projek.
"Fasa 2 akan menyediakan sambungan penting ke Pelabuhan Klang. Pada dasarnya ECRL menggariskan kepentingan prasarana kepada Malaysia dan rakyatnya,
"Apabila siap kelak, rakyat di pantai timur Malaysia akan dihubungkan ke wilayah tengah dan pantai barat dengan hentian penting seperti hab perindustrian, lapangan terbang dan zon pelancongan yang terletak di sepanjang jalan," katanya.
Pembinaan ECRL sepanjang 600 kilometer itu bernilai RM55 bilion, dengan RM46 bilion bagi fasa pertama dari Wakaf Bharu, di Kelantan ke terminal pengangkutan bersepadu (ITT) Gombak manakala RM9 bilion bagi fasa kedua membabitkan ITT Gombak ke Pelabuhan Klang.
Projek ECRL itu apabila selesai nanti akan menghubungkan Greater Lembah Klang dengan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Pembinaan projek tersebut yang dijadual bermula Julai ini dijangka siap pada Jun 2024.
Sementara itu, projek prasarana saluran paip tersebut terdiri daripada saluran paip sepanjang 370 kilometer yang menghubungkan projek Saluran Paip Pelbagai Produk yang sedang dibangunkan sekarang (bermula dari Melaka) ke projek penapisan Petronas yang sedang dalam pembinaan di Pengerang, Johor.
Projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) itu melibatkan pengangkutan produk petroleum dari loji penapis di Melaka dan Port Dickson ke wilayah Tengah dan Utara Semenanjung Malaysia.
"Pembinaan itu dijangka dapat memenuhi keperluan pasaran produk petroleum di Utara Semenanjung Malaysia dan di sebelah Barat berdasarkan permintaan jangka masa panjang 30 tahun.
"Projek ini dijangka akan dapat disiapkan dalam jangka masa dua hingga ke tiga tahun," kata Mohd Irwan.
Selain itu, katanya, Perdana Menteri juga telah menegaskan supaya syarikat China dikenakan syarat untuk mengutamakan sumber dan kepakaran Malaysia dalam melaksanakan projek termasuk tenaga kerja.
-- BERNAMA
#China #ECRL #Laluan Rel Pantai Timur #Liow Tiong Lai #Najib Razak #pengerang #Rahman Dahlan
;