Dua peratus majikan diperiksa tidak patuhi Perintah Gaji Minimum

Bernama
Oktober 13, 2014 08:14 MYT
Jabatan Tenaga Kerja di seluruh negara telah mula menguatkuasakan sepenuhnya perintah itu sejak Januari 2014. - Gambar fail.
Sebanyak dua peratus atau 485 daripada 24,437 majikan yang telah diperiksa di seluruh negara sehingga 31 Ogos tahun ini didapati tidak mematuhi Perintah Gaji Minimum 2012.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, notis pematuhan telah dikeluarkan kepada majikan degil dan tindakan undang-undang akan diambil jika perlu.
"Jabatan Tenaga Kerja di seluruh negara telah mula menguatkuasakan sepenuhnya perintah itu sejak Januari 2014.
"Menerusi pelaksanaannya (gaji minimum), kerajaan berharap ia dapat digunakan sebagai asas bagi pengiraan bayaran lain termasuk caruman keselamatan sosial bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, caruman Keselamatan Sosial dan pengiraan bayaran kerja lebih masa," katanya pada seminar pelaksanaan gaji minimum berdasarkan pengalaman negara anggota Asean di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan timbalannya, Datuk Ismail Abdul Muttalib.
Perintah Gaji Minimum diwartakan pada 16 Julai, 2012 dan dikuatkuasakan mulai 1 Januari tahun lepas selepas pewartaan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.
Ketika ini, gaji minimum yang merupakan gaji asas ditetapkan RM900 sebulan di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Ismail berkata lebih 90 peratus negara di dunia telah melaksanakan gaji minimum manakala negara anggota ASEAN seperti Vietnam, Filipina, Kemboja dan Myanmar telah melaksanakannya lebih awal daripada Malaysia.
#Degil #gaji #majikan #minimum