Dua pembantu robot hidupkan bilik pameran serba baharu Jaguar Land Rover
Faris Danial Razi
Jun 2, 2022 21:59 MYT
Jun 2, 2022 21:59 MYT
KUALA LUMPUR: Sejajar dengan strategi untuk mencorakkan semula masa depan, Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) melancarkan bilik pameran Ara Damansara di Sime Darby Motors City yang dinaik taraf dengan sokongan dua 'pembantu robot'.
Menurut Pengarah Urusan JLRM, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz, pelancaran dua pembantu robot itu memperlihatkan matlamat syarikat untuk menerima pakai sistem perkhidmatan pelanggan berautonomi.
“Kerjasama dengan Secure Robotics ini memberi peluang untuk memanfaatkan teknologi canggih dan kami akan menggunakan robot-robot tersebut buat julung kali di bilik pameran kami di Ara Damansara.
“Kami juga akan meneruskan usaha sama kami untuk meluaskan keupayaan kami dan menambah baik pengalaman automotif bagi pelanggan kami,” ujarnya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Robot yang disediakan adalah hasil kerjasama antara JLRM dan Secure Robotics, penyedia teknologi moden yang terkemuka di Malaysia.
Dilengkapi dengan sambungan Internet tanpa wayar, sensor radar laser, GPS dan keupayaan pengecaman suara, muka serta imej, robot-robot itu menjanjikan pengalaman serba baharu untuk pelanggan, selain menjadikan pengurusan sumber manusia lebih baik bagi syarikat.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Secure Robotics, Datuk Alby Chong, berbesar hati untuk berganding bahu dengan JLRM bagi memperkenalkan robot pintarnya yang bersifat serba boleh.
“Dengan rekod pencapaian dan kepakaran kami dalam bidang robotik, kami bersedia untuk menyokong evolusi Jaguar Land Rover Malaysia dalam kemajuan teknologi untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada peta hala tuju ini, bilik pameran Ara Damansara menawarkan kemudahan tempahan khas dengan studio penyesuaian tersendiri.
Antara ciri yang disediakan termasuk palet warna lengkap, kemasan dan upholsteri kereta untuk disentuh dan dirasai sendiri oleh pelanggan serta alat konfigurasi terperinci yang menyediakan spesifikasi tersesuai bagi kenderaan yang ditempah khas.
Para pelanggan akan dapat menyesuaikan kenderaan mereka mengikut spesifikasi pilihan yang dapat ditayangkan pada skrin 75 inci berdasarkan warna dan spesifikasi yang dipilih.