DSA dan NATSEC Asia 2024 diunjur jana limpahan ekonomi berjumlah RM700 juta

Bernama
Mei 6, 2024 07:30 MYT
Asmat berucap pada majlis pelancaran Pameran DSA 2024 dan NATSEC ASIA 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur, 6 Mei 2024. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 diunjur menjana limpahan ekonomi keseluruhan sekitar RM700 juta.
Pengerusi DSA Exhibition and Conferences Sdn Bhd, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata 1,324 syarikat dari 60 negara menyertai DSA dan NATSEC Asia 2024 tahun ini yang berlangsung dari 6 hingga 9 Mei, meliputi keluasan 48,000 meter persegi untuk menempatkan ruang pameran.
Ia adalah penambahan keluasan sebanyak 30 peratus berbanding edisi sebelumnya, mencerminkan minat global yang semakin meningkat pada pameran tersebut.
"Sebanyak 34 pavilion antarabangsa dan 588 delegasi orang kenamaan (VIP) asing, DSA dan NATSEC Asia 2024 menjanjikan rangkaian dan peluang perniagaan global yang tiada tandingannya," katanya dalam ucapannya pada majlis perasmian Pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 di sini, semalam.
Acara itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdahulu dalam ucapannya, Anwar menggesa peserta untuk berkongsi pengetahuan mereka untuk berinovasi, bertukar-tukar teknologi dan idea baharu serta menjalin perkongsian.
"Kami menganjurkan acara ini bukan sahaja sebagai wakil negara kami tetapi sebagai rakan kongsi dalam usaha kolektif untuk menangani cabaran berkaitan pertahanan dan keselamatan yang mendesak pada zaman kita.
"Kehadiran anda di sini adalah bukti usaha bersama dan tanggungjawab bersama untuk menjamin masa depan yang lebih selamat dan berdaya tahan," katanya.
Anwar berkata pameran itu menyediakan kemudahan untuk dialog, pertukaran pengetahuan dan jalinan perkongsian yang merentasi sempadan, meningkatkan usaha kolektif untuk menangani landskap pertahanan dan keselamatan moden.
"Ini seharusnya merangsang tekad kolektif kami untuk menghadapi dan mengatasi kerumitan landskap pertahanan dan keselamatan moden," katanya.
Sementara itu, Asmat berkata acara itu memberi peluang kepada peserta dan perwakilan untuk bertukar idea serta memupuk perkongsian melalui persidangan, mesyuarat dan penglibatan perniagaan.
Mereka juga akan berpeluang untuk menyaksikan dan membincangkan inovasi, teknologi dan penyelesaian pertahanan dan keselamatan negara yang terbaharu.
"Selain itu, kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), Drone dan Robotics Pavilion dengan kerjasama Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara Malaysia (NAICO Malaysia), mempamerkan keupayaan dalam teknologi dron, kecerdasan buatan dan robotik," katanya.
Dengan menggabungkan semua elemen ini bersama-sama, beliau berkata DSA dan NATSEC Asia 2024 bersedia untuk menjadi edisi paling komprehensif dan berkesan, berfungsi sebagai platform penting untuk menjalin perkongsian pertahanan dan keselamatan antarabangsa, memudahkan urus niaga industri yang penting dan mempromosikan dialog dan kemajuan teknologi global .
Selain itu, Asmat berkata kehadiran pemimpin dalam pertahanan dan keselamatan negara juga dijangka meningkatkan pembangunan industri pertahanan negara melalui kerjasama dan pelaburan baharu.
"Ketika kami mengharungi kerumitan keselamatan global, saya mengucapkan terima kasih kepada semua individu dan organisasi kerana sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi telah membolehkan kami mengumpul golongan intelektual dan teknologi inovatif di bawah satu bumbung," katanya.
Pemain utama industri pertahanan dan keselamatan antarabangsa yang mengambil bahagian dalam acara tahun ini termasuk Airbus Group, BAE Systems, Beretta Defense Technologies BDT, EDGE, Leonardo, MBDA, Sarsilmaz Silah Sanayi, SSM (Persatuan Industri Turki), Tawazun, TUSAS (Turkish Aerospace Industries) dan Yugoimport.
-- BERNAMA
#NATSEC #Asmat Kamaludin #DSA #Anwar Ibrahim
;