DRB-HICOM dijangka buat pengumuman penting

Luqman Hariz
Mei 24, 2017 10:15 MYT
Kehadiran FSP dijangka dapat membantu Proton meluaskan pasaran ke luar negara. - Gambar fail
DRB-HICOM Bhd hari ini menggantung saham syarikat itu di Bursa Malaysia Securities dan dijangka akan membuat satu pengumuman penting petang ini.
Penggantungan jam 9 pagi tadi telah diluluskan Bursa Malaysia.
Pengumuman tengahari nanti dipercayai ada kaitan dengan usaha syarikat itu untuk mencari rakan strategik asing (FSP) bagi syarikat miliknya, Proton Holdings Bhd.
Dua syarikat pengeluar kereta Geely Holding Group Co. dari China dan PSA dari Perancis antara dua syarikat yang sebelum ini dilaporkan berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan syarikat pengeluar kereta nasional itu.
Laporan media bagaimanapun berkata syarikat Geely dijangka akan mengambil alih 49 peratus pegangan di dalam syarikat kereta nasional, Proton.
Geely dikatakan telah mengalahkan pengeluar kenderaan Perancis, Groupe PSA dalam proses pembidaan bagi memperoleh pegangan tersebut.
Menerusi pembelian ini, Geely juga akan mendapat kawalan bagi jenama Lotus, yang berada di bawah kawalan Proton.
Proton diminta untuk mencari rakan kongsi strategik, sebagai salah satu syarat yang dikenakan ketika menerima pinjaman dari kerajaan sebanyak RM1.25 bilion pada 2016.
Pemberian pinjaman itu adalah susulan prestasi kewangan Proton yang lemah, di mana ia telah menyaksikan kerugian bersih sebanyak RM1.426bil bagi tahun kewangan 2016.
Setakat April 2017, jualan kenderaan Proton juga telah jatuh buat bulan ke-6 berturut-turut.
Syarikat itu juga menyaksikan perkongsian pasarannya susut ke tempat ke-4 buat pertama kali dalam sejarahnya, di belakang Perodua, Honda dan Toyota.
Kehadiran FSP dijangka dapat membantu Proton meluaskan pasaran ke luar negara.
#Bursa Malaysia #China #DRB-Hicom #kereta #Malaysia #Proton
;