Dividen KWSP lebih tinggi jika Bursa Malaysia kembali tinggi tahun ini

Najib Aroff
Februari 20, 2017 14:06 MYT
42 peratus pelaburan keseluruhan aset KWSP adalah dalam ekuiti dengan sebahagian besar adalah di Bursa Malaysia. - Foto Bernama
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak menolak kemungkinan bayaran dividen lebih tinggi tahun ini jika prestasi Bursa Malaysia lebih baik berbanding kelemahan bursa tempatan itu dalam tempoh tiga tahun lepas.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahril Ridza Ridzuan, bagi 2016, dividen sedikit rendah susulan wujud susut nilai akibat prestasi Bursa Malaysia yang secara purata susut 3 peratus tahun lepas.
42 peratus pelaburan keseluruhan aset KWSP adalah dalam ekuiti dengan sebahagian besar adalah di Bursa Malaysia.
“Mengapa kami bayar lebih rendah dari 2015 adalah kerana peningkatan susut nilai. Susut nilai ini timbul disebabkan oleh penyusutan 3 tahun berturut-turut Bursa Malaysia.
“Jika ia kekal atau bertambah baik, maka susut nilai akan rendah dan kami sudah ambil kira semua susut nilai sejak 3 tahun lepas, jadi tahun ini akan lebih baik.
“Sama ada pulangan dividen 6 peratus atau tidak ia bergantung kepada prestasi Bursa. KWSP membayar semua pendapatan direalisasikan, tidak wujud isu kami rizabkan pendapatan kerana kami bayar hampir 100 peratus pendapatan kami (dalam dividen)," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Shahril berkata strategi KWSP bagi tahun ini adalah menumpukan kepada pelaburan asset swasta terutama di negara maju bagi memastikan aliran tunai dan pulangan dividen konsisten.
“Kebanyakkan aset swasta kami seperti infrastruktur, hartanah dan ekuiti swasta adalah di pasaran maju. Fokus adalah di Eropah, Amerika Syarikat, UK, Australia, dan Jepun. Ia merangkumi lebih 90 peratus pelaburan aset swasta kami.
“Kami mempunyai pelaburan di negara membangun China namun ia lebih kecil berbanding negara maju. Ini kerana kami lebih gemar aset yang berada di bawah kawalan selia yang stabil serta aliran tunai yang boleh diramal.
“Jadi kami lebih gemar melabur dalam aset yang dikawal selia dengan baik. Wujud kepastian dalam aliran tunai.” Ujarnya.
Shahril berkata penyahpelaburan KWSP dalam aset di luar negara juga adalah bertujuan mendapatkan pulangan kompetitif dan dilabur dalam aset berpotensi lain.
“Kami mengoptimumkan portfolio aset kami. Kami lakukan banyak dagangan aset luar pesisir, jual aset yang kami rasa sudah hampir mencapai paras prestasi maksimum dan hasil itu akan dilabur dalam peluang aset lain.
Bagi Skim Simpanan Shariah pula, Shahril berkata ia dijangka menarik minat lebih ramai pencarum apabila dividen dan prestasi pertama diumum akhir tahun ini.
“Sasaran utama untuk Simpanan Shariah adalah antara RM60 ke RM80 bilion untuk dilanggan. Apa yang kami lakukan adalah sediakan RM100 bilion jika ia terlebih langgan.
“Kami jangka permintaan akan lebih tinggi selepas kami umumkan dividen pertama shariah. Ini kerana individu yang melanggan pada 2016 adalah yang mahukan Simpanan Shariah dan mahukan produk yang patuh shariah.
“Bergerak tahun ini dan tahun depan apabila kami umumkan dividen, mungkin akan ramai lebih berpindah kepada skim shariah," katanya.
KWSP pada sabut mengumumkan dividen 5.7 peratus bagi 2016 melibatkan pembayaran RM37.08 bilion ringgit berbanding 6.4 peratus dividen pada 2014.
#bayaran dividen KWSP lebih tinggi #Datuk Shahril Ridza Ridzuan #Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
;