Dividen KWSP dijangka lebih 6 peratus
Sinar Harian
Februari 24, 2025 08:45 MYT
Februari 24, 2025 08:45 MYT
Seramai 2.65 juta ahli aktif formal KWSP berumur 18 hingga 55 tahun telah mencapai simpanan asas. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi Simpanan Konvensional dijangka mencapai antara enam ke 6.3 peratus manakala Simpanan Shariah dianggarkan sebanyak 5.4 peratus hingga 5.6 peratus.
Penganalisis ekonomi, Dr Mohamad Khair Afham Muhammad Senan berkata, ia berdasarkan prestasi ekonomi negara dan pelaburan KWSP sepanjang 2024 yang semakin positif.
Menurutnya, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus, meningkat daripada 3.6 peratus pada 2023.
Jelas beliau, pertumbuhan itu didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, peningkatan pelaburan dan pemulihan eksport, malah sektor perkhidmatan berkembang sebanyak 5.4 peratus manakala pembuatan meliputi 4.2 peratus.
Katanya, pelaburan langsung asing (FDI) juga meningkat, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara manakala di peringkat global, ekonomi dunia menunjukkan pemulihan beransur-ansur daripada ketidaktentuan sebelumnya.
“Namun, risiko seperti ketegangan perdagangan dan perubahan dasar monetari di negara maju masih wujud hingga mampu mempengaruhi aliran modal serta sentimen pelabur.
“KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan RM57.57 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir pada 30 September 2024, meningkat 20 peratus berbanding RM47.86 bilion dalam tempoh sama pada 2023. Ia kerana prestasi kukuh pasaran ekuiti dan pendapatan tetap, sejajar pemulihan ekonomi domestik serta global,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Mohamad Khair Afham berpandangan, peningkatan kadar dividen dijangka mendapat sambutan positif daripada pencarum memandangkan ia kadar tertinggi diperoleh KWSP dalam tempoh tiga tahun terakhir.
“Berdasarkan prestasi memberangsangkan dan strategi pelaburan berhemat KWSP, jangkaan kadar dividen ini mencerminkan usaha berterusan mereka dalam memberikan pulangan kompetitif.
“Bagaimanapun, kepuasan keseluruhan pencarum turut dipengaruhi oleh faktor ekonomi semasa seperti kos sara hidup dan inflasi,” ujarnya. - Sinar Harian