Dividen KWSP 2019, 5.45 peratus konvensional dan 5 peratus shariah
Najib Aroff
Februari 22, 2020 13:29 MYT
Februari 22, 2020 13:29 MYT
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen 2019 pada 5.45 peratus bagi Simpanan Konvensional melibatkan agihan RM41.68 bilion,
Manakala bagi Simpanan Shariah 2019, KWSP mengumumkan dividen 5 peratus melibatkan agihan RM4.14 bilion.
Angka itu sedikit rendah berbanding 6.15 peratus dividen Simpanan Konvensional dan 5.9 peratus Simpanan Shariah pada 2018.
Menurut KWSP, ia merekodkan prestasi kukuh untuk 2019 disumbang operasi dan kewangan.
“Dengan ini, KWSP telah memberikan 2.95 peratus melebihi kadar yang dimandatkan di bawah Akta KWSP 1991, yang memerlukan pengisytiharan dividen nominal sekurang-kurangnya 2.5 peratus setiap tahun.
“Di samping itu, dividen purata tiga tahun KWSP untuk Simpanan Konvensional selepas penyelarasan inflasi, adalah 4.33 peratus, iaitu 2.33 peratus melebihi sasaran tiga tahun KWSP sebanyak 2 peratus,” kata KWSP dalam kenyataan yang diedarkan.
Jumlah keseluruhan aset KWSP meningkat kepada RM924.75 bilion berikutan peningkatan keahlian sebanyak 2.8 peratus kepada 14.6 juta, manakala jumlah majikan berdaftar meningkat 3 peratus kepada 522,300.
“Pelbagai isu di pasaran global yang masih belum selesai dan terdapat pula beberapa isu baru yang timbul.
“Terdapat tiga kali potongan kadar faedah telah dibuat oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, perang dagangan AS-China yang berterusan dan masih belum menunjukkan jalan penyelesaian serta ketidakpastian sekitar perundingan Brexit.
"Tambahan lagi, pasaran domestik mengalami kesukaran untuk menyokong keupayaan penjanaan pendapatan KWSP di mana 70 peratus aset KWSP adalah di Malaysia, sebahagian besarnya dalam ekuiti domestic,” kata Ketua Pegawai KWSP Alizakri Alias.
Sementara itu berdasarkan Akta KWSP 1991, KWSP perlu membayar dividen untuk Simpanan Shariah pada sebarang kadar, bergantung kepada prestasi pelaburan.
“Simpanan Shariah dilancarkan pada Ogos 2016 atas permintaan tinggi segelintir ahli yang mengkehendaki simpanan mereka diurus dan dilabur berdasarkan prinsip syariah,”
“Perbezaan antara kedua-dua simpanan adalah kerana pilihan jumlah aset patuh syariah adalah tidak seluas pilihan yang terbuka untuk pelaburan Simpanan Konvensional. Majoriti pelaburan Simpanan Shariah adalah dalam pasaran domestik yang menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan pada 2019.” kata Alizakri Alias.
Alizakri berkata KWSP menjangkakan 2020 akan menjadi lebih mencabar berbanding 2019, dengan kesan wabak virus COVID-19 yang mempengaruhi kelembapan pertumbuhan global.