Digital ID: Ini trend baharu pembayaran digital yang wajar diberi perhatian!

Astro Awani
Mei 27, 2023 13:04 MYT
Pengenalan Digital akan memastikan ekosistem pembayaran digital negara ini lebih selamat, melindungi data pengguna sekali gus mencegah penipuan siber. - Foto PayNet
KUALA LUMPUR: Salah satu trend pembayaran digital yang telahpun dalam arus perdana di beberapa negara ialah teknologi identiti, memandangkan keberkesanannya dalam menangani isu penipuan siber, scam dan penipuan dalam talian.
Merujuk kepada pengenalan digital atau Digital ID, kerjasama antara kerajaan, pihak berwajib, pengawal selia dan pemain industri adalah kritikal untuk ia diperkenalkan di negara ini dan memastikan ekosistem pembayaran digital negara ini lebih selamat, melindungi data pengguna sekali gus mencegah penipuan siber.
Menurut Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Pembayaran-Digital IDEMIA, Mehdi Elhaoussine, sebagai contoh, perkembangan pembayaran digital di India telah melonjak dari 0.1 bil sebulan pada 2017 kepada lebih 8 bil hari ini sejak Digital ID diperkenalkan.
“Walau apa pun, kami percaya bahawa sekiranya ia diurus dan dikawal dengan baik, ia boleh membentuk pengalaman pengguna yang lebih baik dan juga membantu dalam memerangi potensi penipuan yang mungkin kita hadapi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pembayaran Perniagaan Gojek Indonesia, Pratyush Prasanna, turut senada dan optimis dengan kemampuan PayNet memperkasa ekosistem pembayaran digital negara ini memandangkan ia telahpun membangunkan ‘Real-time Payments Platform’ atau RPP yang menurut beliau setanding dengan Unified Payments Interface (UPI) di India.
“Lapisan infrastruktur pembayaran kini diuruskan oleh PayNet. Mengapa ia penting?
“Jika saya boleh membuat perbandingan dengan pembayaran masa nyata yang berjaya, kita boleh mengkaji India.
“Di India, apa yang menjayakan pembayaran masa nyata ialah Aadhaar, satu ID digital yang merupakan infrastruktur pengesahan dikuasakan oleh UPI.
“Oleh kerana PayNet bertanggungjawab menguruskan elemen infrastruktur ini, saya yakin PayNet boleh memberi sumbangan signifikan kepada sistem pembayaran digital di Malaysia secara menyuluruh,” ujarnya.
Bagi Ketua Pegawai Pemasaran Unique Network, Charu Sethi, pula, Malaysia adalah negara yang berpotensi untuk memperluaskan kegunaan kripto, teknologi blokchain and Web 3.
“Apa yang menarik tentang blockchain dan Web3, secara amnya, ialah ia merupakan konsep yang amat berfokuskan pada ekonomi pencipta di mana sesiapa sahaja berpotensi untuk menyumbang berdasarkan kemahiran mereka.
“Ia tidak semestinya memerlukan kepakaran teknikal; mereka boleh datang dari kalangan pegawai pemasaran, pencerita atau sesiapa sahaja.
“Ruangnya terbuka untuk semua orang terlibat dalam Web3,” menurutnya.
Mereka ditemui Astro AWANI pada hari kedua Minggu Pembayaran Digital PayNet (PDPW) anjuran penyedia infrastruktur pembayaran digital runcit Malaysia, Payments Network Malaysia Sdn Bhd atau PayNet.
Hari kedua menyaksikan pakar-pakar pembayaran digital luar negara ini dan pakar tempatan membuat perkongsian trend pembayaran digital di luar negara seperti Web 3, composable technology, blockchain, NFT, penggunaan matawang kripto dan fiat untuk pembayaran dalam metaverse, programmable payments, programmable money dan purpose-bound money yang telahpun di peringkat percubaan di Singapura.
Ia disusuli sesi perkongsian inisiatif-inisiatif inovasi oleh AmBank dan Curlec yang merupakan ahli peserta rangkaian PayNet.
Turut dikongsikan ialah sesi-sesi ‘pitching’ oleh 3 syarikat-syarikat pemula atau start-up yang menggunakan inovasi untuk menangani isu pengalaman pelanggan iaitu Leasy, Payex dan Axaipay.
Apa yang menarik ialah Leasy dan Payex merupakan graduan program accelerator PayNet tahun 2022 manakala Axaipay pula merupakan rakan potensi PayNet yang berjaya mengatasi masalah peniaga kecil yang masih lagi menggunakan tunai melalui solusi pembayaran mereka.
#PDPW #pembayaran digital #paynet #teknologi pengenalan digital