Digi teruskan komitmen bantu pelanggan kekal terhubung semasa sekatan pergerakan penuh

Bernama
Jun 4, 2021 10:19 MYT
Pelajar Malaysia yang berusia 12 hingga 24 tahun boleh mendapatkan Pakej Data Khas Pelajar Digi dengan hanya RM20 sebulan.
KUALA LUMPUR: Digi Telecommunications Sdn Bhd meneruskan komitmen untuk membantu pelanggan agar mereka dapat kekal terhubung dengan kehidupan sosial, pembelajaran dan pekerjaan masing-masing ketika sekatan pergerakan penuh yang sedang dikuatkuasakan.
Ia menjelaskan, menjamin ketersediaan dan ketekalan perkhidmatan rangkaian khususnya di kawasan perumahan, serta pusat perubatan dan vaksinasi menjadi keutamaan pihaknya.
"Pasukan kerja rangkaian kami telah digerakkan sepenuhnya dan sedang berkhidmat sepenuh masa untuk memastikan perkhidmatan rangkaian dan kesalinghubungan dijaga dengan sebaiknya.
"Ia merangkumi tugas menaik taraf kapasiti di kawasan trafik tinggi serta menambah baik liputan kawasan terbuka dan tertutup susulan peningkatan penggunaan Internet oleh orang ramai bagi tujuan pembelajaran serta pekerjaan dalam talian, selain menyahut seruan kerajaan untuk kekal berada di rumah," menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.
Ia menambah seluruh saluran perkhidmatan dipastikan bersedia untuk memenuhi keperluan pelanggan termasuk meningkatkan keupayaan saluran digital untuk memudahkan pelanggan membuat transaksi dalam talian, di samping menggalakkan lebih ramai pelanggan untuk kekal berada di rumah serta memanfaatkan khidmat layan diri.
Digi memaklumkan pelajar Malaysia yang berusia 12 hingga 24 tahun boleh mendapatkan Pakej Data Khas Pelajar Digi dengan hanya RM20 sebulan.
Di samping itu, melalui aplikasi MyDigi, para pelajar juga boleh melengkapkan sesi pembelajaran dalam talian menerusi langganan JomTuisyen dengan bayaran RM10 sebulan dan mendapat akses kepada lebih 10,000 video-video pendidikan, jelasnya.
Digi menjelaskan di bawah program Jaringan Prihatin, para pelanggan daripada kalangan komuniti B40 yang layak boleh membuat pilihan sama ada rebat RM180 merangkumi pelbagai pelan prabayar dan pascabayar atau subsidi RM300 untuk telefon pintar dan tablet.
"Bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro dalam mendigitalkan perniagaan mereka, pakej PENJANA Digi Business dapat ditebus melalui Geran Digitalisasi PKS oleh Kementerian Kewangan, dengan menawarkan subsidi dan penjimatan sebanyak RM6,000, selain penyelesaian digital tanpa kos tambahan," menurutnya.
Digi menekankan pihaknya terus berusaha untuk memastikan para pelanggan kekal terhubung dengan apa yang bermakna bagi mereka.
Ia menggesa orang ramai supaya menjaga keselamatan diri dan masyarakat dengan kekal berada di rumah, serta mematuhi prosedur operasi standard pada setiap masa apabila berada di tempat awam.
-- BERNAMA
#subsidi #telefon pintar #pendidikan #pelajar #PKS #Kementerian Kewangan #PENJANA #sekatan pergerakan penuh #Digi Telecommunications #Digi #komitmen #pembelajaran #pekerjaan #pelanggan #kawasan trafik tinggi #dalam talian #kesalinghubungan #liputan #B40 #prabayar
;