Digi syarikat pertama negara perkenal cuti bersalin enam bulan
Azyyati Ahmad
Mac 25, 2016 18:43 MYT
Mac 25, 2016 18:43 MYT
Syarikat telekomunikasi Digi menjadi syarikat pertama di Malaysia memperkenalkan cuti bersalin bergaji selama enam bulan kepada warga kerjanya.
Menurut Ketua Pegawai Seliaan, Siti Fauziah Abu, pendekatan itu diambil bagi menggalakkan penglibatan wanita di sektor digital.
“Objektifnya adalah bagi menggalakkan wanita dalam bidang digital, bukan sahaja warga Digi malah pelanggan dan seluruhnya,” kata Siti Fauziah.
Selain itu, menurutnya, dasar cuti bersalin ini akan membuatkan Digi bukan sahaja sebuah syarikat yang menarik untuk bekerja, tetapi juga tempat di mana wanita boleh membina kerjaya dan seterusnya mengisi barisan kepimpinan.
Menurut Siti Fauziah, inisiatif cuti bersalin enam bulan itu akan dilaksanakan bermula tahun ini dan diperkenalkan bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia.
Selain cuti bersalin enam bulan, Digi turut melancarkan beberapa inisiatif khusus buat wanita yang bertujuan memperkasakan kaum hawa melalui kuasa internet antaranya Women Inspiration Network (WIN) dan Wanita Era Digital (WED).
Siti Fauziah berkata demikian selepas forum anjuran Digi bertajuk 'Memajukan Wanita Di Bidang Digital Dan Tempat Kerja' pada Jumaat.
Forum tersebut dianjur bagi mengupas cabaran dan peluang yang dihadapi oleh wanita dalam tenaga kerja.
Antara yang diwacanakan adalah bagaimana pemimpin wanita menyumbang kepada pertumbuhan organisasi, dan kefasihan digital memecahkan halangan dalam memastikan peluang yang sama rata dengan kaum lelaki.
Panel yang hadir termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (Mdec) Datuk Yasmin Mahmood dan Pengasas aplikasi Watch Over Me Xinch Chin.