Di sebalik pelbagai cabaran, ekonomi Malaysia kekal berdaya saing - Najib
Luqman Hariz
April 12, 2016 18:50 MYT
April 12, 2016 18:50 MYT
Asas ekonomi Malaysia diyakini akan terus kekal mampan dan berdaya saing meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ini terbukti menerusi pelbagai pencapaian tahun lalu termasuk pertumbuhan ekonomi 5 peratus, peningkatan pelaburan asing lebih 22 peratus setahun dan penciptaan 1.8 juta pekerjaan baharu.
“Seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg, kemasukan pelaburan asing ke dalam Malaysia adalah yang terbesar di Asia dan bursa tempatan adalah yang paling stabil di rantau ini,” katanya di forum Invest Malaysia 2016 di sini hari ini.
Tambahnya, Malaysia juga turut menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa.
Antaranya, penarafan “A-“ dan “Stabil” oleh Fitch Ratings, memperolehi kedudukan ke-18 dalam Senarai Kemudahan Menjalankan Perniagaan oleh Bank Dunia serta kedudukan ke 14 dalam Senarai Ekonomi Paling Berdaya Saing.
Malah tambah Najib, ada pihak berpendapat rombakan Kabinet yang dilakukan 28 Julai lalu turut menyumbang kepada rali terbesar Bursa Malaysia sejak 2008.
“Jelas sekali pasaran gemar kepada kepimpinan yang kukuh, kestabilan politik dan pelan ekonomi yang berkredibiliti,” katanya.
”Ada sesetengah pihak menentang prinsip mereka sendiri dan meminta campur tangan asing di Malaysia dan ada yang terus memburuk-burukkan imej negara.
“Hakikatnya ekonomi Malaysia kekal kukuh dan mampan. Faktanya tidak boleh dinafikan,” tegasnya.
Bergerak ke hadapan, beliau menyeru kepada sektor swasta untuk menggembeleng tenaga bersama kerajaan untuk memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara berterusan.
Katanya, ini penting tatkala negara berdepan beberapa perkembangan baharu seperti pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan inisiatif “Belt And Road” China.
“Tindakan akan diambil sekiranya terdapat sebarang bukti salah laku yang dilakukan,” katanya.
Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST)
Mengulas mengenai isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Najib berkata walaupun ia tidak popular, namun ia satu langkah yang perlu diambil oleh kerajaan.
Tegas beliau, ini terbukti apabila GST muncul sebagai penyelamat ekonomi negara ketika harga minyak melemah.
“Kami tahu dari awal lagi, ia akan menjadi satu keputusan yang tidak popular. Tetapi ia perlu.
“Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab akan mengambil keputusan yang sukar jika ia baik untuk negara, tanpa mengambil kira impak populariti jangka pendek.
Tambahnya, langkah ini turut dipuji oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) yang berkata pelaksanaan GST menampan impak kelemahan harga minyak kepada pendapatan kerajaan.
#cukai barang dan perkhidmatan
#ekonomi
#GST
#minyak
#pelaburan asing
#Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
#RCEP
#ringgit
#TPPA