Dewan Rakyat: Potongan cukai khas kurang sewa premis PKS dilanjutkan hingga Mac depan
Fauzi Suhaimi
November 26, 2020 17:41 MYT
November 26, 2020 17:41 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan potongan cukai khas bagi pemilik bangunan yang mengurangkan kadar sewa premis kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selama enam bulan lagi sehingga Mac tahun depan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, program yang tamat pada September lalu itu bertujuan membantu PKS yang terkesan akibat pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
"Kerajaan menggalakkan pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang menikmati penangguhan atau moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mengurangkan bebanan sewa ditanggung PKS.
"Melalui Pakej Rangsangan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), pemilik premis perniagaan yang memberikan pengurangan atau pelepasan sewa kepada penyewa terdiri daripada PKS, akan diberi potongan cukai khas.
"Potongan itu tertakluk kepada syarat pengurangan sewa hendaklah sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kadar sewa asal bagi tempoh terbabit," katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berharap semua pengumuman dan komitmen tambahan yang diumumkan akan terus mengukuhkan Belanjawan 2021 sebagai belanjawan untuk rakyat.
Katanya, semua penambahbaikan yang dilakukan adalah hasil cadangan Ahli Parlimen sepanjang tempoh perbahasan dan libat urus melalui pelbagai saluran.
"Kami mungkin tidak sempurna, tetapi kami mendengar. Dalam lapan bulan ini sahaja, sudah empat Pakej PRIHATIN diumumkan dengan mendengar suara rakyat dan Ahli Yang Berhormat sekalian.
"Untuk bulan-bulan yang mendatang, kami akan terus mendengar, kami akan terus memperhalusi bantuan kerajaan mengikut keadaan COVID-19 dan ekonomi semasa, insya-Allah," ujarnya.
#Dewan Rakyat
#perintah kawalan pergerakan
#COVID-19
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#PENJANA
#ekonomi
#Parlimen
#PKS
#PKPB