Dewan Rakyat: AIM tidak pernah dikorporatkan - Noh Omar
Umavathi Ramayah
Mac 1, 2022 11:55 MYT
Mac 1, 2022 11:55 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menegaskan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) tidak pernah dikorporatkan.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar menjelaskan AIM yang ditubuhkan lebih dari 30 tahun itu tidak pernah bercanggah dengan matlamat asal penubuhannya sebagai sayap untuk mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia.
"Saya ingin tegaskan bahawa AIM tidak pernah dikorporatkan dan perjalanan urus tadbir AIM tidak bercanggah dengan matlamat asal penubuhannya iaitu membantu golongan berpendapatan rendah terutamanya kaum wanita," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bersatu-Bukit Gantang) mengenai motif utama organisasi AIM dikorporatkan.
Sebelum ini wujud kebimbangan susulan desas-desus yang mengatakan agensi itu bakal dikorporatkan dan tindakan itu dikhuatiri memberi kesan dalam usaha mengurangkan kemiskinan terutamanya dalam keadaan negara mendepani pandemik.
Mengulas lanjut, Noh menjelaskan sehingga Disember lalu, seramai 341,034 sahabat aktif direkodkan dengan Sabah mencatatkan 57,564 sahabat.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, jenis perniagaan yang paling banyak diceburi adalah penjaja kecil, jualan langsung, peruncitan, pasar tani dan bakeri yang melibatkan lebih 126,000 sahabat dengan pembiayaan sehingga RM936.29 juta.
Sementara itu, menjawab soalan tambahah mengenai Syed Abu Hussin untuk mempertingkatkan pemberian modal supaya usahawan dapat berkembang dengan lebih besar, Noh memaklumkan satu persefahaman antara agensi-agensi di bawah MEDAC diadakan bagi membolehkan peminjam memperolehi bantuan pinjaman melebihi RM30,000.
"Kita ada membuat satu persefahaman di bawah agensi-agensi di bawah MEDAC, kita sedia maklum bahawa AIM hanya boleh memberi bantuan pinjaman maksimum RM30,000.
"Jadi mereka yang berjaya yang mahu meminjam lebih daripada jumlah itu, maka mereka ini boleh meminjam terus kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang akan memberikan kelulusan istimewa kepada peminjam yang berjaya," ujarnya.
Beliau turut memberitahu, bantuan AIM yang diberikan kepada golongan usahawan di bawah paras kemiskinan terbukti berkesan apabila 33.9 peratus daripada mereka berjaya melepasi golongan berpendapatan rendah (B40).
#Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
#Dewan Rakyat
#Amanah Ikhtiar Malaysia
#Medac
#Parlimen