Dewan Perniagaan Labuan kemuka empat inisiatif untuk Labuan dalam Belanjawan 2024

Bernama
Oktober 1, 2023 04:15 MYT
Inisiatif pertama ini berhasrat untuk memantapkan semula kedudukan Labuan sebagai hab pemunggahan. - Foto fail/Labuan Port Authority
LABUAN: Dewan Perniagaan Labuan (LCC) telah mengemukakan empat cadangan bagi menangani cabaran utama dan merangsang pertumbuhan ekonomi di pulau bebas cukai itu, dalam Belanjawan 2024.
Cadangan itu diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali pada sesi perundingan Belanjawan 2024 dengan pentadbiran kerajaan, penggiat industri di Wilayah Persekutuan dan pihak berkepentingan lain di Putrajaya pada 29 Sept.
Setiausaha LCC Raymund Pang dalam pembentangan bertajuk "Transformasi Ekonomi Labuan: Cabaran dan Peluang" berkata, Labuan, sebagai pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa di Malaysia telah bergelut dengan beberapa isu yang memerlukan penyelesaian strategik untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi Labuan.
"Cadangan LCC bertujuan untuk terus menangani cabaran ini bagi memacu pemulihan dan pertumbuhan ekonomi," katanya sambil memaklumkan cadangan pertama adalah memperkenalkan semula aktiviti pemunggahan bagi alkohol dan produk tembakau seperti rokok.
Inisiatif pertama ini berhasrat untuk memantapkan semula kedudukan Labuan sebagai hab pemunggahan, memanfaatkan rangkaian Kawasan Pertumbuhan Asean Timur- Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMB-EAGA), katanya.
"Menerusi langkah ini, Labuan boleh menggalakkan aktiviti perniagaan, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengurangkan kos perkapalan," katanya.
Menurutnya cadangan kedua adalah menempatkan semula terminal roro feri sedia ada ke Tanjung Aru, Labuan yang berupaya mengurangkan tempoh perjalanan daripada dua jam kepada 45 minit.
"Langkah ini akan meningkatkan kecekapan logistik dan memberikan penjimatan kos kepada perniagaan dan individu. Kesalinghubungan yang lebih baik ini dijangka mendorong perdagangan dan pelancongan di rantau ini," katanya.
Pang turut menekankan keperluan untuk menggunakan semula Kompleks Hab Halal di sini bernilai RM86 juta yang telah lama terbiar.
"Kompleks ini boleh diubah menjadi zon komersial bebas, mencipta peluang untuk perniagaan baharu dan menggalakkan aktiviti pemunggahan. Inisiatif penggunaan semula ini dijangka memberi nafas baharu kepada aset yang kurang digunakan dan seterusnya merangsang potensi ekonomi Labuan," katanya.
Menurut Pang, cadangan keempat LCC adalah membangunkan Labuan sebagai hab pendidikan.
"Dengan memanfaatkan persekitaran Labuan yang selamat dan sihat, inisiatif ini berhasrat untuk menarik lebih banyak institusi pengajian tinggi swasta ke rantau ini.
"Menerusi penawaran insentif kepada institusi ini, Labuan berpeluang menjadi hab pendidikan, menarik banyak kemasukan pelajar yang seterusnya akan menyokong perniagaan tempatan, melahirkan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada peningkatan kemahiran dalam kalangan penduduk Labuan," katanya.
Beliau berkata, walaupun Labuan telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang mengagumkan, langkah menangani cabaran yang mendasari adalah penting untuk memastikan kemakmuran ini akan memanfaatkan segenap penduduk.
-- BERNAMA
#Mohd Zuki Ali #Belanjawan 2024 #pertumbuhan ekonomi #perniagaan tempatan
;