Deposit Tabung Haji cecah RM62 bilion

Bernama
Oktober 17, 2016 14:59 MYT
Berdasarkan rekod agensi itu juga, sebanyak 111,329 pendeposit baharu TH dicatatkan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini. -Gambar fail
Jumlah deposit Tabung Haji meningkat dengan memberangsangkan bagi tempoh 10 tahun terakhir yang kini mencecah RM62 bilion, kata Ketua Pegawai Operasi TH Datuk Adi Azuan Abdul Ghani.
Menurutnya dalam tempoh berkenaan jumlah deposit dicatatkan bertambah sebanyak RM3 bilion setahun sekali gus menunjukkan tahap keyakinan umat Islam terhadap agensi itu sangat tinggi.
Berdasarkan rekod agensi itu juga, sebanyak 111,329 pendeposit baharu TH dicatatkan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.
"Perkembangan ini sangat positif dari segi ekonomi, orang ramai tidak perlu ragu kerana apabila membuat simpanan menerusi TH, manfaat utama kepada penyimpan selain menunaikan fardu haji ialah deposit mereka dijamin sepenuhnya," katanya.
Adi Azuan bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis anjuran TH di sini, hari ini.
Sementara itu Adi Azuan menyeru orang ramai agar membuat pendaftaran haji sejak awal tanpa mengira usia bagi meminimumkan masalah menunggu giliran yang terlalu lama.
Katanya, sebanyak dua juta umat Islam yang berdaftar dengan TH di negara ini terpaksa menunggu giliran selama 92 tahun bagi menunaikan ibadah haji.
"Tempoh ini sangat lama, dan kerana itulah orang ramai diseru mendaftar secepat mungkin agar tempoh berkenaan tidak menjadi lebih lama, jika mereka berlengah mungkin tempoh itu boleh mencecah 100 tahun atau lebih," katanya.
Selain itu katanya, orang ramai digalak memanfaatkan 'Perkhidmatan Bergerak TH Komuniti' secara optimum bagi memudahkan sebarang urusan berkaitan seperti di kaunter-kaunter pejabat cawangan TH.
TH Komuniti yang menggunakan van jenis Westar Maxus v80 2.5 Diesel Turbo, dilengkapi pelbagai peralatan canggih, merupakan antara inisiatif 'merakyatkan perkhidmatan' melalui program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (MOBILE CTC) bagi penduduk luar bandar.
Selepas di Kedah dan Selangor, TH Komuniti akan berada selama sebulan di Perlis bermula hari ini sebelum ke negeri lain.
Empat kenderaan bergerak disediakan khusus untuk perkhidmatan itu, dua daripadanya digunakan di Semenanjung, manakala masing-masing satu di Sabah dan Sarawak, katanya. -- BERNAMA
#adi azuan abdul ghani #deposit tabung haji #RM62 bilion
;