Defisit fiskal 3 peratus mampu dicapai
Najib Aroff
Januari 15, 2015 22:57 MYT
Januari 15, 2015 22:57 MYT
Sasaran defisit fiskal 3 peratus bagi tahun ini mampu dicapai sekiranya penyelarasan tertentu dalam Bajet 2015 dapat dilakukan secepat mungkin.
Dekan Fakulti Perniagaan Malaysia University of Science and Technology MUST Dr Yeah Kim Leng berkata sasaran potongan bajet yang perlu dilakukan sekitar RM10 bilion ke RM15 bilion ringgit bagi menjadikan Bajet 2015 lebih berhemat berdasarkan keadaan ekonomi semasa.
Dr Yeah berkata selagi defisit berada pada kadar 3.5 peratus ke bawah, ia tidak akan mengganggu keyakinan pasaran kerana pelabur faham situasi semasa dunia tidak mengizinkan perancangan penyelarasan fiskal dilakukan seperti dirancang.
"Kita melihat kepada langkah kerajaan mengutamakan projek mega, ia mungkin boleh ditunda dan sekaligus membantu keseimbangan bajet dan 3 peratus defisit fiskal. Selagi ia berada di bawah 3.5 pertaus ia tidak akan menganggu keyakinan pasaran", katanya ketika ditemubual secara eksklusif oleh Astro Awani.
Tambah beliau pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan mampu menampung kesan kekurangan pendapatan dari hasil minyak dan gas akibat kejatuhan harga minyak global.
"GST dilaksana tepat pada masanya dan ia akan bantu menampung kejatuhan hasil dari minyak dan gas". Katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berkata kerajaan akan mengumumkan secara rasmi semakan semula Bajet 2015 minggu depan selepas kejatuhan lebih 50 peratus harga minyak dunia selain banjir yang melanda negeri-negeri di pantai timur semenanjung Malaysia.
Sementara itu Dr Yeah berkata kejatuhan ringgit dijangka mampu memacu sektor eksport negara sekaligus memacu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Kita kurangkan sikit sasaran dari 5.3 peratus kepada 5 peratus tahun ini. Akan ada kesan positif dari kejatuhan harga minyak kerana ia menyokong penggunaan swasta. Malah kita ramai 0.2 ke 0.3 peratus peningkatan KDNK hasil kejatuhan harga minyak". Katanya.
Namun beliau berkata kelemahan ringgit kekal menjadi cabaran utama ekonomi separuh pertama 2015 selain cabaran mencapai defisit fiskal 3 peratus.