Definisi 'American Dream' berubah, bukan lagi kejar kekayaan - Kajian

Harits Asyraf Hasnan
Julai 4, 2023 09:30 MYT
Di tengah-tengah kadar inflasi yang tinggi dan hutang pengguna di seluruh negara, ia semakin sukar untuk menjadi kaya - menjadikan warga Amerika Syarikat meletakkan definisi baharu 'American Dream'. - Foto REUTERS
'AMERICAN DREAM' atau Impian Amerika telah lama dikaitkan dengan pencapaian ekonomi dan kekayaan.
Namun pada hari ini, di tengah-tengah kadar inflasi yang tinggi dan hutang pengguna di seluruh negara, ia semakin sukar untuk menjadi kaya - menjadikan warga Amerika Syarikat (AS) meletakkan definisi baharu 'American Dream'.
Berdasarkan kaji selidik oleh GoDaddy melibatkan lebih 1,000 pemilik perniagaan kecil di AS, definisi 'American Dream' mereka nyata telah berubah dengan ketara jika dibandingkan puluhan tahun lalu.
54 peratus responden mentakrifkannya sebagai 'merasai kebahagiaan dalam hidup' manakala 49 peratus mengatakan ia melibatkan 'kebebasan mengejar impian'.
56 peratus masih menyebut kekayaan sebagai motivator, dengan mengatakan mereka ingin mendapat wang yang mencukupi untuk menjalani 'gaya hidup yang selesa'.
Bagaimanapun, kira-kira tiga perempat daripada responden mengatakan definisi mereka telah berubah sejak kecil.
Memiliki rumah, yang sekian lama dianggap sebagai tanda kejayaan, hanya mendapat jawapan keempat paling popular, iaitu 45 peratus.
Dalam laporannya, GoDaddy memaklumkan keadaan ekonomi ketika ini telah menyebabkan pemilikan rumah menjadi semakin sukar dicapai, terutamanya untuk Generasi Z.
Pemilik perniagaan kecil sering dianggap sebagai ujian sebenar kepada 'American Dream' kerana sesetengah usahawan melihat perniagaan sebagai peluang meningkatkan sosioekonomi mereka.
Sejak beberapa tahun terakhir, banyak pemilik perniagaan kecil adalah millennial dan Gen Z - kumpulan demografi yang semakin vokal tentang menjalani hidup mengikut kehendak hati.
Hampir satu perempat (24.7 peratus) daripada millennial mengatakan mereka merancang untuk menyewa selamanya, disebabkan oleh kos pemilikan rumah yang 'sangat mahal', menurut data kajian terkini daripada Apartment List.
Angka itu telah naik hampir dua kali ganda sejak 2010, meningkat daripada 13 peratus.
Walaupun definisi 'American Dream' telah berubah, majoriti responden berkata kekurangan akses kepada teknologi, pendidikan dan penjagaan kesihatan yang mampu milik kekal menjadi halangan utama.
Namun, 62 peratus optimis dan sangat yakin bahawa mereka mampu capai impian mereka.
#Amerika Syarikat #American Dream #GoDaddy #kehidupan rakyat
;