DCA batal Sijil Operasi Udara Rayani Air

Najib Aroff
Jun 13, 2016 13:34 MYT
Rayani Air harus memulangkan AOC kepada Ketua Pengarah DCA dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis pembatalan dikeluarkan. -Gambar fail
Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) membatalkan Sijil Operasi Udara (AOC) bagi Rayani Air selepas melakukan siasatan penuh ke atas pentadbiran dan audit keselamatan operasi syarikat berkenaan.
DCA dalam kenyataan berkata Rayani Air sudah diberikan hak pembelaan sewaktu siasatan pada 12 Mei 2016.
Menurut Peraturan 193, Peraturan Penerbangan Awam 2016 (AOC) milik Rayani Air bernombor 54 dibatalkan selepas pertimbangan penuh hasil siasatan.
Sehubungan itu, Rayani Air harus memulangkan AOC kepada Ketua Pengarah DCA dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis pembatalan dikeluarkan.
Menurut kenyataan itu, DCA dan Kementerian Pengangkutan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berkaitan hal ini dan tidak akan berkompromi tentang isu keselamatan penerbangan negara.
Sementara itu, Mavcom dalam satu kenyataan memberitahu Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) Rayani dibatalkan berkuat kuasa Isnin.
Mavcom mendapati Rayani telah melanggar syarat yang ditetapkan di dalam ASL tersebut serta mempunyai kedudukan kewangan yang lemah untuk terus beroperasi.
Menurut kenyataan itu, Rayani Air tidak lagi dibenarkan beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial.
"Rayani Air masih bertanggungjawab untuk memulangkan wang kepada para pengguna perkhidmatan mereka.
"Para pengguna yang telah membeli tiket dengan Rayani Air tetapi tidak dapat meneruskan perjalanan mereka boleh membuat aduan dan mengemukakan borang tuntutan untuk proses pemulangan wang.
"Sekiranya pengguna gagal mendapat pulangan wang, para pengguna boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat penerbangan tersebut berdasarkan undang-undang sedia ada," kata Mavcom dalam kenyataannya.
Sebagai alternatif, para pengguna yang terjejas dengan pembatalan ASL boleh membuat aduan dengan Mavcom.
Mavcom telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pihak Rayani Air pada 25 Mei 2016 hasil daripada penilaian suruhanjaya terhadap daya tahan kewangan serta daya saing syarikat tersebut bagi menentukan keupayaannya untuk terus beroperasi sebagai pemegang ASL.
Dalam surat tunjuk sebab tersebut, Rayani Air dikehendaki untuk membuat representasi secara bertulis kepada Mavcom dalam tempoh 14 hari sebelum sebarang keputusan berhubung ASL mereka dimuktamadkan.
Rayani Air telah menyerahkan representasi secara bertulis pada hari terakhir dalam tempoh yang ditetapkan oleh suruhanjaya ini.
Mavcom telah meneliti representasi bertulis tersebut dan mendapati bahawa Rayani Air telah gagal untuk mengemukakan penjelasan memuaskan.
Oleh yang demikian Mavcom telah menghantar surat pembatalan ASL kepada syarikat penerbangan tersebut pada hari ini.
#AOC #DCA #Jabatan Penerbangan Awam #Peraturan Penerbangan Awam #Rayani Air #Sijil Operasi Udara
;