Datuk Rohana Rozhan individu Asia pertama terima anugerah Variety

Astro Awani
April 10, 2018 13:16 MYT
Datuk Rohana bersama Chu (kanan) dan Delhaye ketika menerima anugerah 'Variety Achievement In International TV' di Cannes, Perancis pada Isnin. - Astro AWANI
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro), Datuk Rohana Rozhan menjadi individu pertama dari Asia menerima anugerah 'Variety Achievement In International TV'.
Anugerah dari syarikat penerbitan terkemuka, Variety itu diberi sebagai pengiktirafan kepada kepimpinan dan pencapaian beliau dalam industri media dan hiburan global.
Anugerah disampaikan Pengarang Antarabangsa Variety, Henry Chu bersama Pengarah Bahagian Hiburan Reed MIDEM, Jérôme Delhaye, sempena persidangan tahunan MipTV di Cannes, Perancis pada Isnin.
Bagi Datuk Rohana, beliau percaya kejayaan Astro adalah kerana warga kerjanya yang begitu baik dalam merealisasikan perancangan syarikat.
"Kami melihat diri kami sebagai pengguna dan ini adalah teras kekuatan dan tumpuan. Tiga tunjang utama, kami adalah syarikat pengguna, syarikat kandungan, dan kami membawakan pengalaman dan nilai yang tepat kepada setiap pengguna dan begitulah bagaimana kami berkembang sejak 23 tahun yang lalu," katanya dalam satu temubual.
Sebelum ini, anugerah yang sama telah diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif TF1 di Perancis Gilles Pelisson dan Ketua Pegawai Eksekutif Sky di United Kingdom, Jeremy Darroch.
#Astro #Datuk Rohana Rozhan #Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro #MipTV #Variety
;