Datasonic raih kontrak RM22.5 juta bekal dokumen keselamatan kepada JPN

Dagang News
Mac 25, 2022 08:30 MYT
Datasonic dikehendaki membayar bon prestasi sebanyak RM374,937.26 kepada kementerian dengan tempoh sah bermula dari 1 Mei 2022 hingga 30 April 2026. -Dagang News
KUALA LUMPUR: Datasonic Group Bhd memperoleh kontrak RM22.5 juta untuk mereka bentuk, mencetak, membekal dan menghantar pelbagai dokumen keselamatan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Dalam pemaklumannya kepada Bursa Malaysia, Datasonic memberitahu, kontrak daripada Kementerian Dalam Negeri itu diberikan kepada anak syarikat milik penuh Datasonic Technologies Sdn Bhd untuk tempoh 36 bulan mulai 1 Mei.
Kontrak RM22.5 juta itu menandakan kontrak kedua yang diperoleh Datasonic pada 2022, dengan yang pertama ialah kontrak RM50.12 juta untuk membekalkan JPN dengan kad mentah dan bahan habis pakai MyKad, MyTentera dan MyPOCA yang diumumkan pada 17 Feb.
Datasonic dikehendaki membayar bon prestasi sebanyak RM374,937.26 kepada kementerian dengan tempoh sah bermula dari 1 Mei 2022 hingga 30 April 2026.
Selain itu, Datasonic juga dikehendaki melaksanakan program Latihan & Pendidikan Profesional untuk Usahawan Berkembang (PROTÉGÉ) seperti yang ditetapkan oleh kerajaan berdasarkan jumlah kontrak, dengan bilangan minimum sembilan peserta.
Kumpulan itu berkata, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan masa depan dan aset bersih sesahamnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 dan tahun kewangan berikutnya sepanjang tempoh kontrak.
Saham Datasonic tidak berubah pada 46 sen pada Khamis, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran RM1.36 bilion. - DagangNews.com
#Datasonic #mykad #JPN #dokumen keselamatan
;