Datakraf Solution lebarkan sayap ke Asia Tenggara, jalin kerjasama dengan AT&T Cybersecurity
Astro Awani
Mei 20, 2022 08:00 MYT
Mei 20, 2022 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pembekal perkhidmatan keselamatan siber, Datakraf Solution Sdn Bhd melebarkan sayapnya dalam sektor tersebut selepas menjalinkan kerjasama dengan telekomunikasi multinasional Amerika, AT&T Cybersecurity.
Pengerusi Datakraf , Tunku Naqiuddin Tuanku Ja'afar berkata, kerjasama itu melibatkan sistem keselamatan siber bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh rantau Asia Tenggara.
Menurutnya, menerusi kerjasama itu, Datakraf akan menawarkan penyelesaian terhadap keselamatan siber melalui sistem AlienVault’s Unified Security Management (USM), OpenXDR, SentinelOne, dan Open Threat Exchange (OTX).
“Keselamatan siber menjadi semakin penting untuk mana-mana perniagaan hari ini terutama dengan trend semasa seperti Big Data dan Cloud Solution.
“Landskap ancaman siber menjadi semakin kompleks dan memerlukan sistem pertahanan yang lebih sistematik dan bersepadu.
“Kami percaya kerjasama AT&T Cybersecurity dengan Datakraf di Malaysia akan dapat menaiktaraf keupayaan untuk membantu pelanggan melindungi aset digital.
“Ia juga adalah untuk mengesan ancaman siber, mengurangkan sebarang kesan perniagaan yang berpotensi untuk menghadapi ancaman siber,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, Datakraf kini mempunyai pelanggan seperti PETRONAS, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA).
“Portfolio ini akan membawa keyakinan kepada prospek masa depan AT&T Cybersecurity di rantau ini,” ujarnya.