Dasar Trump atau Harris tidak jejas peluang Malaysia raih manfaat
Bernama
September 6, 2024 19:45 MYT
September 6, 2024 19:45 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia masih mampu mendapat manfaat, tidak kira di bawah dasar pentadbiran Donald Trump mahu pun Kamala Harris sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) berikutan lencongan perdagangan serta langkah strategik China+1.
Bagaimanapun, CIMB Securities menyifatkan kehadiran Trump menduduki kerusi presiden negara maju itu dilihat mengundang lebih banyak ketidaktentuan bagi perdagangan global.
Mengulas pilihan raya presiden AS akan datang yang menyaksikan pertarungan antara calon parti Republikan dan Demokrat berkenaan, firma itu berkata pendekatan Harris yang lebih bersasar ke atas China akan meneruskan kesinambungan serta kestabilan relatif bagi perdagangan global.
Namun, penekanan ketara terhadap aspek piawaian alam sekitar boleh memberi kesan dari segi membebankan beberapa industri walaupun pada masa sama membuka peluang untuk sektor teknologi hijau.
“Sektor elektrikal dan elektronik (E&E) berkemungkinan besar menjadi penerima manfaat terbesar dalam masa terdekat ini, tidak kiralah sama ada kejayaan itu berpihak kepada Trump atau Harris.
"Manfaat itu bagaimanapun lebih ketara di bawah pentadbiran Harris memandangkan kestabilan serta pelaburan China+1 (strategi pelaburan melengkapkan operasi utama di China dengan pelaburan ke negara lain bagi mengurangkan kos) serta berkaitan jentera dan peralatan.
"Sarung tangan getah mungkin mendapat impak lebih positif menerusi permintaan perubatan yang lebih tinggi di bawah Harris," katanya dalam nota penyelidikan ekuiti hari ini.
CIMB Securities berkata sektor minyak dan gas juga dijangka mendapat limpahan dari segi peningkatan pengeluaran tenaga serta tarif lebih tinggi di bawah Trump.
Pada masa sama biarpun tumpuan Harris terhadap pelepasan karbon boleh mengurangkan permintaan global, ini juga boleh membuka peluang dalam teknologi hijau.
Sektor perladangan pula diunjur mendapat tempat dalam pentadbiran Trump berikutan peningkatan permintaan China dan di tengah-tengah pendekatan perdagangan bersifat 'membalas,' namun berkemungkinan diasak tekanan bagi melaksanakan peraturan alam sekitar yang lebih tegas di bawah pimpinan Harris.
-- BERNAMA