Dasar merangkumi aspek pembangunan negara penting untuk perniagaan yang kondusif - Dr M

Bernama
Mei 25, 2022 20:14 MYT
Dr Mahathir turut menasihati rakyat Malaysia, terutamanya komuniti perniagaan untuk terus bekerja keras serta memahami setiap aspek perusahaan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Persekitaran perniagaan yang kondusif diwujudkan melalui dasar yang kukuh dan berkesan merangkumi semua aspek pembangunan negara, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir yang juga Presiden Kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana (PLF) seterusnya menjelaskan bahawa dasar-dasar itu walaupun dibahagikan mengikut sektor, tidak berfungsi secara silo kerana ia saling berkait dan melengkapi antara satu sama lain.
"Dengan cara yang sama, sektor swasta dan perniagaan dalam mencapai objektif ekonomi, mereka tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat yang ingin mereka pupuk dan kembangkan," katanya dalam pembentangan "Mencapai Kejayaan dalam Perniagaan dan Kehidupan" bersempena Program Pemimpin PKS PLF 2022 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Dr Mahathir menekankan bahawa sektor perniagaan kecil dan sederhana merupakan daya penggerak yang penting.
"Ia adalah perusahaan baharu yang berpotensi untuk berkembang melebihi skala PKS untuk menjadi syarikat nasional atau multinasional," katanya sambil menambah di Malaysia, bilangan perniagaan mikro, kecil dan sederhana dijangka melebihi 1.2 juta pada 2021, satu trend yang sihat dan memberangsangkan.
Dr Mahathir turut menasihati rakyat Malaysia, terutamanya komuniti perniagaan untuk terus bekerja keras serta memahami setiap aspek perusahaan.
"Kata-kata seperti seseorang itu tidak perlu bekerja keras tetapi bekerja dengan bijak sangat popular dalam kalangan kita. Memang betul, kenapa perlu bekerja selama 10 jam jika hasilnya boleh dicapai dalam masa separuh daripada tempoh itu?
"Tetapi pepatah sebegitu harus dibaca bersama pepatah lain - 'mudah datang mudah juga pergi', yang bermaksud sesuatu yang kita capai dengan mudah juga akan hilang dengan mudah," tambahnya.
-- BERNAMA
#Mahathir Mohamad #PMKS #komuniti perniagaan Malaysia #syarikat nasional dan multinasional
;