Daroyah Alwi wanita pertama dilantik sebagai Pengerusi MRC, berkuat kuasa 1 Oktober

Umavathi Ramayah
Oktober 12, 2021 12:55 MYT
Daroyah Alwi (duduk di tengah) dilantik sebagai Pengerusi Majlis Getah Malaysia yang baharu berkuat kuasa 1 Oktober lalu. - Gambar MRC
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat, Dr Daroyah Alwi dilantik sebagai Pengerusi Majlis Getah Malaysia (MRC) yang baharu, menggantikan Datuk Raja Idris Raja Kamaruddin berkuat kuasa 1 Oktober lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nurul Islam Mohamed Yusoff menerusi satu kenyataan menyifatkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa itu sebagai satu sejarah kepada MRC, memandangkan ini merupakan pertama kali agensi kerajaan itu diterajui oleh wanita.
"Pengurusan MRC mengalu-alukan kehadiran Dr Daroyah dan kami yakin dengan pengalamannya sebelum ini, beliau dapat memberikan sumbangan yang terbaik untuk MRC terus maju ke hadapan," katanya di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Nurul Islam turut menzahirkan penghargaan kepada Raja Idris ke atas bimbingan dan perkongsian ilmu selama kepemimpinan beliau dalam pengurusan agensi berusia 20 tahun itu.
Sementara itu, Daroyah berkata beliau percaya dengan pasukan kepimpinan MRC yang akan bersama-sama dengannya dalam mendepani cabaran yang mendatang dan akan memanfaatkan segala pengalamannya dalam menerajui tunggak kepimpinan MRC.
"Saya akan terus komited dalam membangunkan dan memperkasakan MRC bukan sahaja dalam sektor getah di pasaran tempatan namun juga di mata dunia," katanya.
#Daroyah Alwi #Majlis Getah Malaysia #wanita #PKR
;