Dari pemain bola sepak profesional kepada peniaga makanan laut secara digital

Kenyataan Media
Jun 4, 2021 21:47 MYT
Asri Mardzuki (kini) dan Rijal Fikry (kanan) kini bergelar usahawan dalam talian selepas menamatkan karier sebagai pemain bola sepak profesional. - Foto MEDAC
SEPAKAN kencang pada satu sesi latihan bola sepak pada malam beberapa hari sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini memberi kepuasan tersendiri kepada Muhammad Rijal Fikry Yusoff.
Namun, Rijal Fikry, 27, tidak menyangka itu merupakan ‘detik-detik terakhirnya’ selaku pemain bola sepak profesional bersama PDRM FC yang beraksi dalam Liga Perdana. Ini kerana kontraknya ditamatkan oleh skuad The Cops.
Ujar anak muda berasal dari Sik, Kedah ini, dia menerima keputusan berkenaan dengan hati terbuka kerana ia merupakan lumrah dalam karier seorang pemain bola sepak profesional. Bekas pemain bola sepak pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) yang juga pernah mewakili negara di peringkat remaja berkata, selepas ‘bersara’ sebagai pemain bola sepak, dia tidak membuang masa meratapi ‘hilang kerja’ sebaliknya terus mengorak langkah dengan memberi tumpuan kepada perniagaan makanan laut secara dalam talian.
Beroperasi di sebuah tapak kecil di Sungai Kantan, Kajang, di sini, Rijal Fikry mula berjinak -jinak dalam dunia perniagaan sejak beberapa bulan lalu namun tidak dapat memberi tumpuan penuh disebabkan terikat dengan jadual latihan yang padat serta perlu mengikuti trip pasukan ke beberapa negeri untuk perlawanan bola sepak.
Membangunkan perniagaannya menggunakan jenama Hero Seafood, Rijal Fikry bersama seorang lagi bekas pemain Harimau Muda, Asri Mardzuki menawarkan perkhidmatan penghantaran ikan segar ke kawasan berhampiran termasuk Bangi, Ampang, Kajang, Cheras, Puchong, Seri Kembangan dan Putrajaya.
“Selepas tiga hari beroperasi, Hero Seafood berjaya menjual hampir 1,000 kilogram (kg) pelbagai jenis ikan, 500 kg udang, sotong dan ketam selain turut menjual lebih 300 ekor ayam kepada pelanggan. Bagi melancarkan operasi, kami telah mengupah lima orang pekerja,” katanya.
Ditanya mengenai rahsia perniagaannya mendapat sambutan memberangsangkan dalam tempoh singkat, dia yang juga pemegang Ijazah Sarjana, Sains Sukan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan, perniagaannya menggunakan kaedah pemasaran digital.
“Pelanggan melayari laman sosial Hero Seafood dan membuat tempahan dan pembayaran. Pesanan akan dihantar kepada mereka dalam tempoh kurang dua jam bagi memastikan kesegaran makanan laut yang ditempah. Pada awalnya saya juga tidak begitu mahir. Di atas saranan seorang rakan, saya melayari laman web Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk mempelajari tips pemasaran digital menerusi Go E-Commerce),” katanya.
“Saya turut melayari saluran Youtube MDEC untuk melihat success story peniaga - peniaga lain yang mendapat bimbangan MDEC untuk adaptasi pendigitalan berjaya melonjakkan perniagaan masing -masing,” katanya.
Katanya, pada masa sama, dia bersyukur kerana dapat membantu individu mendapat pekerjaan lebih - lebih lagi dalam suasana tidak menentu ketika pandemik COVID-19 terus ‘menyerang’ negara ini.
Ditanya mengenai perancangan perniagaan, Rijal Fikry memberitahu, Hero Seafood sedang dalam proses untuk menggunakan aplikasi YEZZA untuk menjual produk dan memudahkan perniagaan.
Beberapa hari lalu, ujarnya syarikat j telah melancarkan laman web iaitu https://heroseafood.my yang menawarkan beberapa pakej jualan makanan laut mengikut pilihan pelanggan.
“Saya juga telah mendaftar untuk menyertai program 100 Go Digital anjuran MDEC bagi mendigitalkan perniagaan dan mengatasi gangguan yang wujud akibat situasi semasa,” katanya.
Berhubung dunia bola sepak yang diceburinya sejak di bangku sekolah rendah, Rijal Fikry yang pernah mewakili skuad Piala Presiden Kedah berkata, dia tidak ‘menggantung but’ secara total kerana masih berminat lagi untuk bermain.
“Saya masih menjaga kecergasan dengan membuat latihan larian pada setiap hari namun biarlah masa yang menentukannya. Selepas perniagaan stabil, saya turut menimbangkan untuk menyambung pengajian peringkat kedoktoran dalam bidang sains sukan kerana mendapat tawaran dari sebuah universiti tempatan,” katanya mengakhiri perbualan bersama wakil MDEC baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Digital MDEC, Aiza Azreen Ahmad berkata, agensi berkenaan sentiasa menggalakan usahawan tempatan bergerak ke arah pendigitalan supaya terus berdaya saing, lestari dan mampu bertahan dan berkembang ketika pandemik global.
“MDEC telah melancarkan program 100 Go Digital Coaching yang menggabungkan pelbagai komponen secara hands-on dalam memimpin peserta untuk memastikan mereka mencapai prestasi baik dalam perniagaan. Kisah usahawan seperti Rijal Fikry ini yang menggunakan pendekatan digital dalam perniagaannya telah menunjukkan hasil dalam tempoh singkat. Ia selaras dengan matlamat MDEC yang memberi tumpuan terhadap empat teras DIGITAL iaitu Kemahiran Baharu (New skills), Penerimaan (Adoption), Pengganggu (Disruptors) dan Pelaburan (Investments). Ini membentuk asas kepada kempen jenama digital NADI MDEC yang memacu program-program terasnya untuk rakyat, perniagaan dan para pelabur. Menarik menyaksikan bagaimana usahawan seperti kisah Hero Seafood ini menguruskan teras Pengganggu (Disruptors) berdasarkan kemahiran digital untuk memacu perniagaan,” katanya.
Pada masa hadapan, MDEC menerusi kepelbagai inisiatif mahu membimbing lebih banyak perniagaan tempatan mengembangkan operasi berteraskan teknologi terkini. Usaha ini selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang bertujuan untuk menyokong kira -kira 875 000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan mikro ke platform digital menjelang 2025.
Mengenai 100 Go Digital, inisiatif ini menyasarkan untuk menyokong sektor perniagaan runcit, syarikat makanan dan minuman (F&B) logistik dan perkhidmatan profesional. Para jurulatih yang terlibat dengan program ini pula mempunyai rekod prestasi cemerlang dari lapan syarikat yang kukuh iaitu AutoCount, Deepsky, Estream Software, iBizzCloud, Innergia Labs, Locus-T, Million Software dan Smart-Acc Solutions. Senarai ini merupakan kumpulan pelatih digital pertama dengan lebih banyak para jurulatih yang akan ditambahkan pada masa terdekat.
Selain dari sesi latihan, syarikat-syarikat ini juga akan menyediakan bahan latihan dalam talian dan pasukan sokongan program yang berdedikasi.
Untuk mengetahui lebih lanjut dan mendaftar ke 100 Go Digital Coaching, sila kunjungi: https://mdec.my/100godigital.

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menerajui transformasi digital negara sejak 25 tahun lalu. MDEC membawa agenda Malaysia 5.0, membolehkan negara diintegrasi dengan teknologi secara mendalam, seterusnya menyediakan peluang-peluang digital yang adil dan saksama kepada rakyat dan perniagaan.
Bagi mencapai matlamat ini, MDEC memberi tumpuan kepada empat teras DIGITAL utama iaitu Kemahiran Baharu (New skills), Penerimaan (Adoption), Pengganggu (Disruptors) dan Pelaburan (Investments). Ini membentuk asas kepada kempen jenama digital NADI MDEC yang memacu program-program terasnya untuk rakyat, perniagaan dan para pelabur. MDEC mensasarkan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaya saing tinggi dari segi digital di peringkat global, berpandukan inklusif, kelestarian, dan kemakmuran bersama dan menetapkan asas yang kukuh untuk Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.
#Malaysia5.0 #NadiDigital #SayaDigital #MHODA #MyMDEC
#Medac #JIWA SME #Rijal Fikry Yusoff #harimau muda #Asri Mardzuki #PDRM FC #Hero Seafood #penghantaran ikan segar #pemain bola sepak
;