Dari kejuruteraan pesawat, 'terbang' ke dunia fesyen
Tan Su Lin
Februari 19, 2016 07:30 MYT
Februari 19, 2016 07:30 MYT
Bagi sesiapa sahaja yang telah berkhidmat lebih 20 tahun di sesebuah syarikat pastinya akan hilang hala tuju setelah mendapat berita tentang pemberhentian kerja.
Namun bagi bekas jurutera pesawat Malaysia Airlines, Mohammad Sophian Bartan, peluang itu digunakan untuk menceburi bidang yang tidak pernah terlintas di benak fikirannya sebelum ini -- fesyen muslimah.
"Saya suka fesyen sebenarnya tetapi saya memang tak tahu apa-apa pasal fesyen pun. Memang saya suka pakaian cantik, tetapi itu sahaja yang saya tahu," katanya yang kini berjaya membuka butik fesyen, Intuisi by Yans Creation di AEON Big Wangsa Maju di sini.
Tanpa pengetahuan tentang perniagaan, apatah lagi fesyen, Sophian yang merupakan Pengarah Urusan Intuisi terpaksa kembali bertatih setelah ditamatkan tempoh perkhidmatannya selama 23 tahun di syarikat penerbangan itu.
"Pada ketika saya tahu MAS mahu memberikan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS), saya terus rasa bahawa inilah masanya jika saya mahu melakukan perubahan dalam hidup saya. Jadi saya pun menghadiri kursus perniagaan dan belajar daripada beberapa mentor yang mengajar saya tentang dunia perniagaan. Daripada situ, saya mula mendapat idea bahawa mungkin saya dapat menceburkan diri dalam bidang lain," katanya.
Biarpun terpaksa bermula dari sifar, Sophian tetap teruja berdepan cabaran baharunya.
"Saya rasa saya macam baharu lahir dalam industri ini. Kosong sebenarnya ... jadi saya terpaksa belajar balik macam mana saya belajar masa menjadi jurutera pesawat dulu. Namun saya amat menyukai pengalaman ini. Saya dapat mempelajari benda baharu, bertemu kenalan baharu dan menimba kemahiran baharu,"
Pengalaman membeli belah bersama isterinya, maka tercetus idea membuka butik fesyen muslimah yang menawarkan rekaan moden dan berkualiti.
"Saya rasa dalam bidang fesyen muslimah ini, ramai yang hendak berpakaian menutup aurat tetapi mungkin berbelah bahagi kerana terpaksa korbankan fesyen untuk berpakaian muslimah. Saya lebih suka kalau boleh, orang kalau hendak tutup aurat atau berhijab tetapi mereka masih boleh bergaya dan kelihatan cantik malah berbangga dengan pemakaian mereka."
"Dahulu apabila saya ingin mencari pakaian untuk isteri, saya terpaksa pergi sama ada ke kedai yang lebih mahal atau sederhana tetapi berkualiti rendah dan rekaannya tidak begitu cantik. Jadi itu yang cuba kami lakukan sekarang," katanya.
Kini bekerja sendiri, Sophian juga mendapat lebih kepuasan berbanding sebelum ini.
"Semasa saya bekerja dahulu, kita cuba nak buat yang terbaik tetapi mungkin kita tidak dapat penghargaan yang terbaik tetapi apabila kita buat kerja sendiri dan lakukan yang terbaik, kita akan dapat balik hasil yang terbaik. Itu satu kepuasan yang saya rasa saya tidak dapat semasa kerja dahulu," katanya.
Berbekalkan semangat untuk meneruskan kehidupan, bagi Sophian, rezeki ada di mana sahaja asalkan bersabar dan terus berusaha.
"Janganlah cepat putus harapan. Sebenarnya terlalu banyak rahmat yang ada sekitar kita ini dan kalau kita memilih untuk nampak sesuatu yang kita hilang, kita tidak akan nampak macam-macam benda yang kita ada. Tetapi kalau kita memilih nampak apa yang kita ada, sebenarnya yang kita hilang itu sikit sangat dan banyak lagi jalan yang Allah buka untuk kita."
Selepas butik pertama dibuka di Wangsa Maju pada 28 November lalu, kini Sophian merancang untuk membuka butik keduanya di Shah Alam pada hujung tahun ini.