DAP desak PM lanjut moratorium, sedia kerjasama dengan semua parti - Guan Eng

Fareez Azman
Oktober 28, 2020 17:03 MYT
Guan Eng berkata semua parti politik harus bekerjasama untuk mendesak lanjutan moratorium pinjaman secara automatik selama enam bulan lagi. Gambar: BERNAMA
KUALA LUMPUR: DAP sedia bekerjasama dengan semua parti politik untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri supaya melanjutkan moratorium pembayaran balik pinjaman bank bagi tempoh enam bulan lagi.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan media hari ini, mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah gagal melanjutkan moratorium pembayaran kepada seramai 6.6 juta peminjam.
"Kerajaan PN telah mengecewakan ramai rakyat Malaysia dengan kegagalan melanjutkan moratorium pembayaran balik pinjaman bank secara automatik untuk enam bulan lagi ketika dia (Perdana Menteri) mengumumkan tambahan RM10 bilion bantuan kewangan Kita Prihatin bulan lalu.
"Pakej Kita Prihatin berjumlah RM305 bilion dijangka menyumbang 3.7 peratus hingga 4 peratus kepada pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) tahun ini," dakwanya.
Bagaimanapun dakwanya, nilai KDNK itu tidak mungkin dapat dicapai berikutan situasi jangkitan terbaharu COVID-19 di negara ini.
"Atas sebab ini, lanjutan moratorium pinjaman bank secara automatik selama enam bulan hingga 31 Mac 2021, diperlukan untuk mengatasi kemerosotan pertumbuhan ekonomi.
"Tan Sri Muhyiddin mendakwa bahawa lanjutan moratorium pinjaman bank dan bantuan bank bersasar selepas 30 September telah membantu lebih daripada 1.4 juta peminjam.
"Walaubagaimanapun, jumlah peminjam ini masih jauh lebih rendah daripada lapan juta peminjam individu dan korporat yang mendapat manfaat moratorium sebelum ini," katanya.
Dakwanya, kos lanjutan moratorium pinjaman automatik hanya RM6.4 bilion berbanding keuntungan yang dicatatkan industri perbankan iaitu sebanyak RM32 bilion pada tahun 2019.
"Sekiranya industri perbankan tidak mahu memikul tanggungjawab sosial korporat tersebut, kerajaan harus menggalasnya," katanya.
#Lim Guan Eng #DAP #PM #KDNK #Perdana Menteri #rakyat #ekonomi terjejas #KITA PRIHATIN #bantuan #pinjaman bank #Moratorium pembayaran balik pinjaman secara automatik #lanjutan #Moratorium
;