Dana Kewangan Berdaulat: Sarawak jalin kerjasama dengan Norway

Rudi Affendi Khalik
Mei 13, 2022 11:10 MYT
Menurut Abang Johari, sebagai negeri pertama yang menubuhkan dana tersebut di Malaysia, kerjasama itu penting kerana Norway terkenal dengan kecekapan dan kejayaannya mengurus dana tersebut. - Foto ihsan Pejabat Premier Sarawak.
KUCHING: Sarawak menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Norway sebagai langkah awal menubuh dan menguruskan dana kewangan berdaulatnya sendiri dalam waktu terdekat, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, sebagai negeri pertama yang menubuhkan dana tersebut di Malaysia, kerjasama itu penting kerana Norway terkenal dengan kecekapan dan kejayaannya mengurus dana tersebut.
"Standard pentadbiran kerajaan Norway yang tinggi sejak penubuhan dana itu pada 1996 akan menjadi kayu ukur untuk Sarawak dalam mengurus dana itu kelak," katanya ketika menyampaikan ucap balas kepada pegawai kementerian dan Pengurusan Pelaburan Bank Norges ketika berkunjung ke ibu pejabat bank tersebut pada Khamis.
Pada tahun lalu, Abang Johari telah mengumumkan bahawa Sarawak sedang mengkaji untuk menubuhkan dana tersebut, yang diyakini akan meningkatkan pendapatan negeri itu berkali ganda.
Ini katanya, dapat dilakukan kerana Sarawak mempunyai rantaian pendapatan yang berterusan, terutama selepas melaksanakan cukai khas terhadap hasil minyak dan gas, serta air.
Untuk rekod, dana kewangan berdaulat Norway yang dikenali sebagai Dana Global Persaraan Kerajaan telah ditubuhkan untuk mengurus wang hasil minyak negara itu.
Dana tersebut menerima suntikan modal pertamanya, sebanyak 2 bilion kroner dari Kerajaan Norway pada 1996, hasil daripada minyak negara tersebut.
Pada 2021, jumlah keseluruhan pelaburan ekuiti dan hartanah luar negara dana tersebut dilaporkan mencecah USD1.34 trilion.
Abang Johari kini dalam rangka lawatan dua hari ke Norway, sebagai sebahagian daripada jadual kunjungan rasmi beliau ke Eropah.
Awal minggu ini, Premier Sarawak itu telah diberikan penghormatan menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak dan Pameran Hidrogen Sedunia 2022 di Rotterdam, Belanda.
Mengulas lanjut tentang kerjasama yang bakal terjalin, Abang Johari mengakui terdapat banyak persamaan antara Sarawak dan Norway, terutama dari segi populasi penduduknya yang bertebaran.
"Kedua-duanya juga memiliki kepelbagaian sumber semula jadi, terutamanya minyak dan gas selain tenaga hidro.
Pun begitu katanya, beliau percaya, selari dengan keazaman untuk membangunkan strategi kemampanan pelbagai generasi untuk Sarawak, negeri itu tidak boleh mengguna dan menikmati semua hasil yang diperolehi itu.
"Sebaliknya harus membahagikan sebahagian daripada perolehan ini untuk generasi akan datang dalam bentuk Dana Berdaulat," tegasnya.
Hadir dalam rombongan Abang Johari termasuklah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Timbalan Menteri Tenaga dan Kemampanan Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni; Peguam Besar Negeri, Datuk Seri Talat Mahmood Abdul Rashid dan Setiausaha Kewangan Negeri, Datuk Seri Dr. Wan Lizozman Wan Omar.
#Dana Berdaulat #Sarawak bekerjasama dengan Norway #cukai khas hasil minyak #Kerajaan Sarawak
;