Dana Impak: 6 tema utama menjana pertumbuhan - Khazanah
Harits Asyraf Hasnan
Januari 25, 2022 15:05 MYT
Januari 25, 2022 15:05 MYT
KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) menggariskan enam tema utama dalam pelaksanaan Dana Impak yang bakal dilancarkan secara rasmi kelak.
Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, pelaburan pemangkin untuk jangka masa sederhana dan panjang itu bakal mengukuhkan daya tahan negara sekali gus menjana pertumbuhan.
Dalam temu bual bersama The Edge, beliau berkata, dana tersebut bukan sahaja akan memberi pulangan komersial, tetapi juga memberi manfaat sosial.
"RM6 bilion untuk lima tahun ini, adalah untuk memahami apa sebenarnya jurang dalam polisi yang sedia ada dan menggunakan pengaruh kita untuk membuat percantuman terhadapnya.
"Melihat kepada jurang-jurang berkenaan, kita berkemungkinan dapat merangsangkan sebahagian darinya dengan pelbagai jenis pelaburan, pada awalnya, dengan bekerjasama bersama dengan pelabur domestik atau antarabangsa - untuk merancakkan sektor itu," katanya sebagai memetik laporan The Edge.
Enam tema utama tersebut adalah bersaing di peringkat global, membangunkan ketahanan iklim, keselamatan makanan dan tenaga, kerja yang baik dan mobiliti sosial, kesihatan dan pendidikan berkualiti kepada semua serta masyarakat digital dan hab teknologi.
Mengambil contoh pelaburan yang dilakukan ke atas Farm Fresh (Holstein) pada 10 tahun lalu, Amirul Feisal berkata, syarikat itu telah berkembang maju pada masa sama membantu para penternak di negara ini.
Inisiatif itu merupakan satu daripada empat bidang keberhasilan utama dalam 'Advancing Malaysia' seiring mengukuhkan kedudukan Khazanah dalam memberi impak kepada negara.
Tiga bidang keberhasilan utama lain adalah mengaktifkan pemain korporat dalam pasaran modal Malaysia dalam memacu pertumbuhan ekonomi; penglibatan dalam pasaran antarabangsa, memfasilitasi aliran maklumar, jaringan dan peluang pelaburan; serta menumpukan kepada pembangunan kapasiti dan komuniti berdaya maju demi.