Dakwaan perbankan Islam di Malaysia tekan pengguna tidak benar - Penganalisis

Bernama
Oktober 19, 2014 12:44 MYT
Orang ramai yang menggunakan perkhidmatan pinjaman bank perlu lebih peka kepada caj yang dikenakan. Gambar Hiasan
Sistem perbankan yang diamalkan di Malaysia diyakini mampu berperanan membantu umat Islam melakukan urusan perbankan yang patuh Syariah dan tidak menekan pengguna.
Penganalisis ekonomi Datuk Mohd Yusof Kassim berkata tidak timbul isu bank-bank yang mengamalkan perbankan Islam mengenakan caj yang tinggi melebihi bank konvensional.
Katanya orang ramai yang menggunakan perkhidmatan pinjaman bank perlu lebih peka kepada caj yang dikenakan dan tidak hanya mendengar persepsi pihak-pihak tertentu berhubung perkara itu.
"Sebenarnya pada saya, perbankan Islam lebih telus, kerana bila akad, kita dah tahu, berapa peratus dia (bank) dapat keuntungan, berapa peratus kita sebagai pelabur dapat," katanya ketika ditemui pada majlis "Dialog Mengenai Dimensi Masa Depan IBF di Malaysia" di sini semalam.
Beliau mengulas dakwaan isu perbankan Islam yang dikatakan menekan pengguna Islam dengan caj yang lebih tinggi daripada perbankan konvensional.
Mohd Yusof yang juga Rektor Kolej Universiti Insaniah (Kuin) berkata tidak wujud isu penindasan kerana bank-bank yang menggunakan konsep perbankan Islam adalah kukuh dan berkembang pesat di negara ini.
"Buktinya, ramai orang bukan Islam bertukar kepada perkhidmatan perbankan Islam yang memuaskan hati mereka dan pihak bank itu sendiri terutama dalam soal pinjaman.
"Tiada kos tersembunyi dalam perbankan Islam, sebaliknya telah dinyatakan dalam kontrak serta mengenakan kadar yang rendah dan tidak turun naik dalam tempoh jangka panjang," katanya.
Dialog dua hari yang bermula semalam dianjurkan Kuin bagi membincangkan amalan perbankan Islam di Malaysia dan negara lain.
#bank #Mohd Yusof Kassim #perbankan Islam
;