Dakwaan harga getah Malaysia rendah berbanding Thailand tidak benar - Pengerusi RISDA

Bernama
Januari 7, 2016 19:04 MYT
Malaysia membeli susu getah pada harga RM3.50 sekilogram manakala di Thailand 28 Baht (RM3.39), bermakna harga mereka (Thailand) lebih rendah 11 sen. - Gambar fail
Dakwaan bahawa harga getah di Malaysia lebih rendah daripada di Thailand adalah tidak benar sama sekali, kata Pengerusi RISDA Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Beliau berkata harga getah di Malaysia masih lebih tinggi berbanding Thailand.
Katanya berdasarkan rekod Thai Rubber Association, harga getah sekerap di Thailand adalah 15 Baht iaitu bersamaan RM1.87 sedangkan di Malaysia adalah RM1.90 iaitu tiga sen lebih tinggi, sedangkan apa yang diviralkan adalah harga di Malaysia RM2.20 berbanding negara jiran itu pada harga RM4.50 sekilogram.
"Begitu juga dengan harga susu getah. Kita beli dengan harga RM3.50 sekilogram manakala di Thailand 28 Baht (RM3.39), bermakna harga mereka (Thailand) lebih rendah 11 sen," katanya kepada pemberita berhubung maklumat harga getah yang tidak benar disebarkan di media sosial.
Beliau berkata demikian selepas mengagihkan RM88,000 wang zakat hasil keuntungan anak syarikat RISDA, Espek Plantation dan RISDA Baja kepada 216 penduduk dari kawasan Parlimen Padang Besar di perkarangan Masjid Jamek Beseri di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA Najib A. Samad, Ketua Pegawai Eksekutif ESPEK Plantation Sdn Bhd Fikri Ghani dan Pengarah RISDA Perlis Ramlie Tumin.
Zahidi yang juga Anggota Parlimen Padang Besar mengakui pendapatan ramai pekebun kecil terjejas oleh kejatuhan harga getah dan ditambah pula dengan penurunan harga minyak, justeru RISDA telah merangka pelbagai pelan serta program yang dapat membantu dalam hal ini.
"Kita juga akan minta supaya diwujudkan kad keluarga bagi mereka yang berpendapatan rendah dan miskin untuk digunakan semasa membeli barangan keperluan asas dengan harga yang lebih murah," katanya.
Katanya RISDA juga bercadang untuk bersama dengan persatuan pekebun kecil serta persatuan peladang dan nelayan bertemu dan berbincang dengan kerajaan untuk mencari jalan meringankan beban rakyat.
#Getah #harga #Malaysia #risda #Thailand
;