DAKN 2030 pacu sektor agrikomoditi sebagai pemangkin ekonomi negara

Dagang News
Mac 10, 2022 08:30 MYT
ZURAIDA: Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) menggariskan hala tuju pembangunan industri agrikomoditi negara yang merangkumi lapan komoditi utama. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) menggariskan hala tuju pembangunan industri agrikomoditi negara yang merangkumi lapan komoditi utama, menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Komoditi tersebut merangkumi kelapa sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, fiber berasaskan tumbuhan (kenaf), biojisim dan biobahan api.
Beliau berkata, dasar itu juga digubal bagi memastikan sektor tersebut terus dipacu dan memberi sumbangan secara berterusan kepada negara melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pendapatan eksport negara.
Pada masa sama, katanya, DAKN 2030 dijangka dapat membangunkan rakyat dengan pengurangan jurang pendapatan dan kadar kemiskinan, terutamanya bagi masyarakat luar bandar.
"Sumbangan sektor agrikomoditi kepada KDNK negara tidak dapat dinafikan dengan nilai sumbangan yang menunjukkan peningkatan daripada RM76.2 bilion pada 2010 kepada RM84.3 bilion pada 2021.
"Peningkatan sebanyak 6.1% merupakan satu permulaan yang baik dalam usaha kerajaan untuk memastikan nasib pekebun kecil dan pemain industri dalam sektor ini terus terbela," katanya dalam kenyataan sempena pelancaran DAKN 2030, pada Rabu.
DAKN 2030 merupakan kesinambungan kepada Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020 telah diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 19 Januari 2022.
Penggubalan dan hala tuju dasar ini adalah berteraskan kepada Agenda Nasional seperti Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Rancangan Malaysia Ke-12 dan Rancangan Fizikal Negara Ke-3 (RFN3).
Sektor agrikomoditi telah mencatatkan jumlah nilai dagangan sebanyak RM270.2 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 39.7% berbanding 2020 manakala imbangan dagangan adalah sebanyak RM148.8 bilion.
Pendapatan eksport adalah sebanyak RM209.5 bilion atau 16.9% daripada keseluruhan pendapatan eksport negara. Sawit dan getah merupakan penyumbang utama dalam peningkatan nilai eksport agrikomoditi.
Zuraida berkata, bagi memastikan sektor ini terus kukuh dan mampan, Rangka DAKN 2030 digubal dengan 3 komponen utama berdasarkan Hala Tuju Strategik keseluruhan sektor agrikomoditi (Visi dan Teras DAKN 2030), Aspirasi DAKN 2030 dan Keutamaan Rentas Sektor.
Secara keseluruhan, katanya, DAKN 2030 merangkumi 5 teras utama iaitu Kemampanan, Produktiviti, Penjanaan Nilai, Pembangunan Pasaran dan Keterangkuman dengan 14 indikator dan sasaran keseluruhan. - DagangNews.com
#Dasar Agrikomoditi Negara #DAKN #Zuraida Kamaruddin #pembangunan industri agrikomoditi
;