Dairy Australia jangka permintaan kukuh produk tenusu di Malaysia
Bernama
Februari 22, 2015 14:26 MYT
Februari 22, 2015 14:26 MYT
Pertambahan pesat bilangan kafe antarabangsa, bakeri dan gerai makanan barat di negara ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan pertumbuhan kukuh industri makanan tempatan yang seterusnya membawa kepada permintaan tinggi terhadap produk berasaskan tenusu di Malaysia, kata Dairy Australia.
Mengikut laporan Prestasi Makanan dan Gentian Victoria 2014, nilai eksport dari negeri Victoria ke pasaran Malaysia berkembang 34 peratus pada musim 2013/2014.
Negeri Victoria, yang membekalkan lebih 80 peratus tenusu Australia, mengeksport 35,000 tan metrik bernilai AU$135 juta (RM386 juta) ke Malaysia tahun lepas.
"Unjuran tinggi bagi musim ini juga sebahagiannya adalah hasil daripada Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (Mafta) dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand, yang menyediakan status bebas tarif bagi susu cair, yang seterusnya meningkatkan akses pasaran rangkaian produk termasuk tenusu," kata Peter Myers, pengurus perdagangan dan pembangunan antarabangsa badan perkhidmatan nasional bagi penternak dan industri tenusu kepada Bernama.
Beliau juga berkata prestasi eksport yang lebih baik bagi musim 2014/2015 sejajar dengan musim pengeluaran tinggi di Australia, yang diunjur meningkat antara dua hingga tiga peratus.
Bagi asas mingguan, 66 kontena dieksport ke Malaysia dari Melbourne,di belakang China (133 kontena), Jepun (95 kontena), dan Singapura (73 kontena).
Keseluruhannya, Malaysia merupakan antara lima pasaran utama Australia dari segi nilai bagi 2013/2014 dengan nilai sebanyak AU$217 juta dan kelima dari segi kuantiti sebanyak 51,501 tan metrik.
Myers juga menyatakan hakikat bahawa produk Australia, majoritinya diperakui halal dan dikeluarkan bagi penduduk Islam, membawa kepada penerimaan positif terutamanya di Malaysia.
Eksport ke Malaysia menyumbang tujuh peratus daripada jumlah eksport produk berkaitan tenusu Australia.
"Kami mengeksport produk kami ke 40 negara Islam, termasuk Malaysia, dan kami memahami peraturan ketat dari segi spesifikasi produk.
"Terdapat badan di setiap negeri di Australia yang diperakui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengesahkan dan memeriksa semua kemudahan pembuatan, dan kebanyakan daripadanya dihasilkan bagi menyediakan kepada pasaran halal," katanya.
Myers berkata dolar Australia agak lemah berbanding dolar AS sejak 12 bulan lepas yang menjadikan harga barangannya lebih kompetitif berbanding produk AS.
Dairy Australia menganjurkan program biasiswa Asia Tenggara pada 22-28 Mac tahun ini untuk memberikan pemahaman yang lebih baik mengenai proses pembuatan tenusu dalam seluruh rantaian nilai.
Program sulung yang bertujuan menggalakkan kualiti dan keselamatan produk berasaskan tenusu dijangka meningkatkan keyakinan pasaran terhadap industri tenusu Australia.