Daihatsu perkenal 4 kereta konsep pada Pertunjukan Motor Tokyo 2015

Norzainah Zainal Abidin
Oktober 28, 2015 22:53 MYT
Presiden Daihatsu Motor Co. Ltd Masanori Mitsui di Pertunjukan Motor Tokyo. - Foto Astro AWANI / Norzainah Zainal Abidin
Daihatsu Co Ltd (Daihatsu) buat pertama kalinya mempertontonkan empat model kereta konsep terbarunya di Pertunjukan Motor Tokyo 2015 yang bermula hari ini.
Turut diperkenalkan ialah 10 model komersialnya.
Empat model itu ialah Nori Ori, Tempo, D-Base dan Hinata. Manakala kereta yang sudah memasuki pasaran termasuk Cast Activa, Cast Style, Copen Cero, Move dan Tanto Custom. Pengenalan model konsep itu dilakukan oleh Presiden Daihatsu Motor Co. Ltd Masanori Mitsui.
Hadir sama pada acara itu ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh.
Menurut Mitsui, kereta konsep itu akan menjadi penanda aras bagi kenderaan berkonsepkan kompak yang boleh dipelbagaikan fungsinya mengikut kegunaan pemilik pada masa akan datang.
Paling mencuri tumpuan pada pameran itu ialah model Tempo yang mewakili kenderaan konsep komersial yang boleh juga diubah suai menjadi sebuah kereta keluarga.
Selain itu model konsep Nori Ori pula memberikan fokus kepada kenderaan komuter pelbagai guna untuk masa depan terutamanya untuk golongan kurang upaya dan warga emas.
Presiden Daihatsu Motor Co. Ltd Masanori Mitsui semasa memperkenalkan model Nori Ori di Pertunjukan Motor Tokyo. - Foto Astro AWANI / Norzainah Zainal Abidin
Dalam Pertunjukan Motor Tokyo yang ke-44 tahun ini Daihatsu mencetuskan idea “Possible”, seiring dengan konsep tema tahun ini iaitu “Your Heart Will Race”.
Menerusi idea “Possible” ia menunjukkan bagaimana pengeluar kenderaan boleh mewujudkan persekitaran dan suasana menyeronokkan setiap hari menerusi evolusi kenderaan mini yang menjadi sebahagian dari hidup.
Daihatsu ialah antara pengeluar kereta tertua di Jepun yang paling menonjol dalam pengeluaran kereta-kereta kompak.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh mencuba minuman di model Tempo. - Foto Astro AWANI / Norzainah Zainal Abidin
Sementara itu acara dwi tahunan itu tahun ini yang berlangsung di Pusat Pameran Big Sight menyaksikan sebanyak 76 kenderaan dari seluruh dunia membuat penampilan pertama , termasuk 67 daripada pengeluar kereta tempatan.
Cast Activa, antara kereta yang sudah memasuki pasaran. - Foto Astro AWANI / Norzainah Zainal Abidin
Tiga puluh pembuat kenderaan dari seluruh dunia mengambil bahagian termasuk 130 syarikat daripada industri berkaitan permotoran seperti kejuruteraan enjin dan aksesori kereta. Pertunjukan yang mensasarkan lebih sejuta pengunjung akan berakhir 8 November ini.
#D-Base #Daihatsu #Hinata #kereta #Nori Ori #Pertunjukan Motor Tokyo #Tempo
;