Dagangan Januari Malaysia meningkat lebih 24 peratus

Najib Aroff
Februari 18, 2022 12:16 MYT
Pada Januari 2022, perdagangan dengan ASEAN berkembang 21.4 peratus tahun ke tahun kepada RM52.23 bilion. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdagangan Malaysia bagi Januari 2022 meningkat 24.8 peratus kepada RM203.05 bilion berbanding Januari 2021, menurut Matrade dalam satu kenyataan.
Eksport naik 23.5 peratus kepada RM110.73 bilion, pertumbuhan dua digit yang keenam bulan berturut-turut sejak Ogos 2021.
Import meningkat 26.4 peratus kepada RM92.32 bilion dan lebihan dagangan berkembang 10.9 peratus kepada RM18.4 bilion.
Pertumbuhan eksport telah disumbangkan oleh peningkatan permintaan global terutamanya bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta minyak sawit dan
keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
Sementara itu, eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua digit.
Prestasi eksport
Berbanding Disember 2021, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing menyusut sebanyak 6.3 peratus, 10.6 peratus, 0.6 peratus dan 40.6 peratus, disebabkan kesan asas yang tinggi dan faktor bermusim berikutan cuti sempena tahun baru.
Pada Januari 2022, kesemua sektor eksport utama telah merekodkan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun, disokong oleh kenaikan eksport yang ketara bagi hampir kesemua barangan utama.
Eksport barangan perkilangan yang merangkumi 85.5 peratus daripada jumlah eksport berkembang 19.3 peratus kepada RM94.67 bilion, merupakan pertumbuhan dua digit yang keenam bulan berturut-turut sejak Ogos 2021.
Barangan E&E, barangan perkilangan logam, keluaran petroleum, kimia dan bahan kimia, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit serta jentera, kelengkapan dan peralatan masing-masing telah mencatatkan peningkatan eksport melebihi RM1 bilion.
Eksport keluaran pertanian melonjak 75.6 peratus kepada RM8.77 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-11 bulan berturut-turut dicatatkan sejak Mac 2021.
Kenaikan ini disokong oleh eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
Eksport hasil galian naik 38.4 peratus kepada RM6.82 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-10 bulan berturut-turut sejak April 2021. Peningkatan ini disumbangkan oleh pertambahan eksport gas asli cecair (LNG).
Pada Januari 2022, perdagangan dengan ASEAN yang mewakili 25.7 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia berkembang 21.4 peratus tahun ke tahun kepada RM52.23 bilion.
Prestasi import
Bagi import Januari 2022 pula, tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 74.9 peratus daripada jumlah keseluruhan import adalah barangan pengantara, bernilai RM50.52 bilion.
Selain itu barangan modal, berjumlah RM9.97 bilion dan barangan penggunaan, bernilai RM8.63 bilion.
#perdagangan #ekonomi #eksport #import
;