Dagangan dua hala Asean-China akan terus berkembang

Bernama
November 18, 2012 16:41 MYT
Dagangan antara Asean dan China, ekonomi kedua terbesar dunia, dijangka berkembang walaupun negara itu dalam proses peralihan kepimpinan.
Ketua setiausaha Asean Dr Surin Pitsuwan berkata Perjanjian Dagangan Bebas Asean-China amat menggalakkan dan melihat peningkatan 20 peratus dagangan antara Asean dan China tahun ini.
"Kami berharap pemimpin China akan terus menggalakkan dagangan dengan Asean dengan China terus membuka pasarannya," katanya kepada pemberita pada Sidang Kemuncak Asean ke-21 di Peace Palace di sini.
Bagaimanapun, pemimpin Asean turut berharap agar China terus meningkatkan pelaburan mereka di rantau ini kerana pelaburan China masih dilihat kecil berbanding lain-lain rakan dialog Asean.
Presiden Hu Jintao dan Perdana Menteri Wen Jiabao dijangka digantikan masing-masing oleh Xi Jinping dan Li Keqiang menjelang Mac tahun depan.
Dagangan dua hala China-Asean telah melonjak daripada US$7.9 bilion pada 1991 kepada US$292.7 bilion pada 2010.
Bagi setengah tahun pertama 2011, dagangan dua hala itu mencatatkan US$171.1 bilion, satu peningkatan 25 peratus tahun ke tahun.
China adalah rakan dagang terbesar Asean sementara Asean adalah rakan dagang ketiga terbesar bagi negara itu.
Pelaburan China dalam Asean bagi suku tahun pertama 2011 berjumlah US$1.49 bilion, satu peningkatan 34.3 peratus berbanding tempoh yang sama 2010 tetapi masih dianggap kurang daripada pelaburan yang dibuat oleh lain-lain rakan dialog.
#ASEAN #China #Sidang Kemuncak Asean ke-21 #Surin Pitsuwan
;