Dagangan Bursa Malaysia akhiri sesi tengah hari lebih tinggi didorong sokongan belian berterusan

Bernama
Ogos 24, 2023 13:31 MYT
Hong Leong Investment Bank telah mengekalkan pandangannya bahawa FBM KLCI akan berada dalam jajaran ketat dengan pelabur telah bersedia untuk berhadapan cabaran luaran dan musim pelaporan keputusan korporat tempatan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sokongan belian berterusan di pasaran secara meluas mendorong Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi ini agak tinggi.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI menambah 3.65 mata kepada 1,443.76 daripada 1,440.11 pada penutup dagangan Rabu.
Indeks utama, yang dibuka pada paras 1,440.11, meningkat 1.41 mata, berlegar antara 1,441.52 dan 1,446.75 sepanjang sesi.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 401 berbalas 379, manakala 419 kaunter tidak berubah, 1,152 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 2.11 bilion unit bernilai RM856.13 juta.
Hong Leong Investment Bank telah mengekalkan pandangannya bahawa FBM KLCI akan berada dalam jajaran ketat dengan pelabur telah bersedia untuk berhadapan cabaran luaran dan musim pelaporan keputusan korporat tempatan.
Bagi saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals meningkat dua sen kepada RM6.82, IHH Healthcare menambah lima sen menjadi RM5.97, CelcomDigi melonjak sembilan sen kepada RM4.39, Public Bank dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM4.08 dan RM5.58 manakala Maybank turun satu sen kepada RM8.98.
Saham-saham aktif pula, Nexgram peroleh setengah sen kepada 1.5 sen, Sapura Energy tidak berubah pada lima sen, Hong Seng susut satu sen menjadi 4.5 sen manakala CN Asia dan Perdana Petroleum masing-masing turut setengah sen kepada 23.5 sen dan 23 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 28.24 mata kepada 10,664.14, Indeks FBMT 100 naik 28.07 mata menjadi 10,346.85 dan Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 46.86 mata kepada 10,906.65.
Indeks FBM 70 turut menambah 46.65 mata kepada 14,166.22 dan Indeks FBM ACE meraih 2.46 mata kepada 5,287.60.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.21 mata kepada 168.56, Indeks Perladangan mengembang 7.85 mata kepada 6,970.93 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 3.27 mata kepada 16,179.72.
Indeks Tenaga susut 1.07 mata untuk mencatatkan paras 822.71.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #sokongan belian berterusan #sesi dagangan tinggi #fbm klci
;