Cypark nafi dakwaan laporan tular kononnya syarikat 'sembunyi maklumat'

Dagang News
Jun 30, 2022 11:03 MYT
Cypark berpandangan artikel bertajuk "The Mystery of Cypark Resources Berhad" itu "ditulis dengan sengaja dengan niat jahat dan mengelirukan pelabur/pemegang kepentingan". - Foto DagangNews
KUALA LUMPUR: Cypark Resources Bhd menafikan dakwaan yang dibuat oleh laporan tular yang tersebar dalam pelbagai blog dan laman web bahawa syarikat itu kononnya, menyembunyikan maklumat yang dianggap berkaitan dengan pelabur awam.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Cypark berkata artikel tanpa nama itu, bertajuk "The Mystery of Cypark Resources Berhad", adalah "tidak bertanggungjawab" dan mengandungi "tuduhan atau maklumat yang salah, tidak tepat dan/atau palsu".
Cypark berpandangan bahawa artikel itu "ditulis dengan sengaja dengan niat jahat dan mengelirukan pelabur/pemegang kepentingan".
"Lembaga pengarah ingin memaklumkan bahawa asas syarikat dan semua hak kontrak di bawah semua pelbagai perjanjian konsesi kekal kukuh dan sah," katanya.
"Syarikat berhak untuk bertindak atas sebarang kenyataan jahat dan lembaga akan mengambil langkah yang perlu atau cara undang-undang untuk menanganinya," tambahnya.
Artikel tersebut membangkitkan beberapa perkara termasuk kelewatan projek berterusan Cypark, perbelanjaan faedah, aset kontrak, aliran tunai percuma kumpulan serta unjuran untuk kadar pulangan dalaman projek yang sedang berjalan.
Dalam temu bual dengan The Edge pada Jun, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengarah eksekutif kumpulan Cypark Datuk Daud Ahmad berkata kebimbangan terhadap kedudukan kewangan syarikat berpunca daripada "salah faham" model perniagaannya.
Daud, berkata, perintah kawalan pergerakan adalah punca kelewatan projeknya, dan kedudukan aliran tunai operasi negatif Cypark akan dipulihkan apabila hampir kesemua projek siap pada 2023. - DagangNews.com
#Cypark Resources #laporan tular #sembunyi maklumat #artikel berniat jahat
;