Cukai tambahan RM78 juta: Southern Power milik TNB bincang dengan LHDN
Dagang News
Januari 15, 2024 10:00 MYT
Januari 15, 2024 10:00 MYT
KUALA LUMPUR: Setelah mendapatkan kebenaran mahkamah untuk mencabar cukai tambahan RM78.49 juta, Southern Power Generation Sdn Bhd yang 70% dimiliki TNB, kini sedang dalam perbincangan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi kemungkinan penyelesaian di luar mahkamah.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, susulan pendengaran kes yang dijadualkan pada Khamis lalu tidak dilangsungkan berikutan perbincangan penyelesaian tersebut, mahkamah menetapkan 28 Mac sebagai tarikh pendengaran seterusnya.
Cukai tambahan terhadap Southern Power itu, yang baki 30% kepentingan ekuiti dipegang oleh SIPP Energy Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Kerabat Johor - adalah untuk tahun-tahun penilaian 2017 hingga 2021.
Notis penilaian cukai tambahan dikeluarkan kepada Southern Power pada bulan Mei tahun lepas, selepas itu ia meminta izin mahkamah untuk mencabar keputusan LHDN melalui semakan kehakiman.
Mahkamah memberikan kebenarannya pada September tahun lepas untuk meneruskan cabarannya.
"Jika pihak -pihak berjaya mencapai penyelesaian sebelum 28 Mac 2024, pendengaran juga tidak akan diadakan," kata TNB. - DagangNews.com