Cukai syarikat antarabangsa tingkat program kesejahteraan rakyat - Zahid

Firdaus Azil
Ogos 11, 2023 13:02 MYT
Ahmad Zahid Hamidi berkata, melalui sumbangan tersebut, pendapatan yang diperolehi Kerajaan Persekutuan dapat digunakan dengan lebih berkesan untuk merangka program yang memberi impak terus kepada masyarakat. - Gambar fail
TANJONG KARANG: Sumbangan syarikat-syarikat multinasional antarabangsa, baik daripada segi pencukaian, mahupun tanggungjawab sosial korporat (CSR), memberi sumbangan yang cukup signifikan untuk program kesejahteraan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, melalui sumbangan tersebut, pendapatan yang diperolehi Kerajaan Persekutuan dapat digunakan dengan lebih berkesan untuk merangka program yang memberi impak terus kepada masyarakat.
Beliau, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sumbangan syarikat yang terlibat boleh dirangka dengan program yang selari dengan dasar Ekonomi MADANI, yang mencakupi usaha Kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar.
“Dalam hubungan ini, kita tahu bahawa syarikat multinasional antarabangsa ini berikan sumbangan yang banyak dalam bentuk percukaian, dan percukaian ini dapat membantu pendapatan negara, selanjutnya digunakan untuk pembangunan rakyat dan juga turut untuk ditambah luas dengan pelbagai program demi kesejahteraan rakyat.
“Insya Allah, pada akhir tahun ini, terdapat 136,000 keluarga miskin tegar, dan usaha untuk menoktahkan, menghapuskan kemiskinan tegar di negara ini, adalah satu rancangan yang cukup terkesan kepada seluruh rakyat,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program "Beyond Benih" peringkat nasional, DI Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjong Karang, yang merupakan program kebun komuniti British American Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT Malaysia).
Dalam satu kenyataan susulan, BAT Malaysia berkata, Program “Beyond Benih” tersebut merupakan sebahagian komitmen BAT Malaysia ke arah membina A Better Tomorrow™ dengan mewujudkan masa depan yang saksama dan mampan untuk semua.
Berucap lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau mengambil maklum permintaan BAT Malaysia untuk meningkatkan kerjasama strategik dengan agensi-agensi kerajaan, khususnya dalam mengukuhkan industri berkaitan keterjaminan makanan.
“Dalam konteks ini, keterjaminan makanan atau food security ini penting. Pengimportan bahan makanan dari luar negara terlalu banyak. Bumi kita sangat subur, dan biarpun kos penanaman agak tinggi, dari segi jangka panjang kita dapat turunkan nilai import barangan makanan.
“Dan untuk itu, terima kasih kepada Jabatan Pertanian, MARDI dan badan pertanian lain termasuk FELCRA yang mempunyai 230,000 hektar tanah untuk dimajukan. Jadi kalau BAT Malaysia mahu Kerjasama dalam ekonomi yang besar, FELCRA sedia bantu, kerana ada 107,000 ketua keluarga (peserta) boleh bantu.
“Kombinasi antara swasta untuk food security ini harus diterjemahkan oleh semua pihak. Kita tak mahu kementerian atau jabatan atau agensi bekerja secara silo atau bersendirian. Ia mesti dikombinasikan bagi langkah jangka panjangnya demi membantu rakyat,” tambahnya.
#Ahmad Zahid Hamidi #BAT Malaysia #kemiskinan tegar #ekonomi madani
;