Cukai pengosongan tidak akan dikenakan ke atas pemaju pada 2021 - Zuraida

Isabelle Leong
September 10, 2020 11:56 MYT
Kata Zuraida, KPKT ingin memberikan fokus kepada pemilikan perumahan yang lebih mudah kepada semua - Gambar fail
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak akan mengenakan cukai pengosongan (vacancy tax) ke atas pemaju hartanah mewah pada tahun depan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata kementeriannya sedang mengkaji mekanisme lain yang dapat digunakan untuk mengawal isu unit rumah yang tidak terjual.
Bagaimanapun, Zuraida tidak mendedahkan sebarang perincian mengenai mekanisme baharu berkenaan.
“Perkara mengenai pelaksanaan cukai pengosongan itu hanya dibincangkan dalam satu mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTE). Kami akan melihat semula cadangan itu kerana perkara ia bukannya keutamaan kami.
“Cadangan pelaksanaan cukai pengosongan itu tercetus apabila kami memikirkan hartanah mewah yang tidak terjual. Bagaimanapun, hanya 29,000 rumah mewah yang tidak terjual dengan (nilai) RM29 bilion.
“Jadi ia tidak menjadi keutamaan untuk kami selesaikan masalah tersebut,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Digital Skim Rumah Pertamaku (Digital SRP) di ibu negara pada Khamis.
Turut hadir ialah Pengerusi Cagamas SRP Berhad, Datuk Bakarudin Ishak; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas Berhad, Datuk Chung Chee Leong; Pengarah Didian Sdn Bhd, Chow Nam Kit dan Ketua Pegawai Eksekutif MHub Quek Wee Siong.
Katanya lagi, KPKT ingin memberikan fokus kepada pemilikan perumahan yang lebih mudah kepada semua, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan sederhana (M40).
“Kami ingin memastikan golongan B40 dan M40 boleh membeli rumah dengan lebih mudah melalui bank.
“Oleh itu, perkara untuk mendapatkan pinjaman bank lagi penting untuk dibawa ke mesyuarat MTE,” jelas Zuraida lagi.
Sebelum ini, Zuraida menegaskan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan cukai pengosongan akan dilaksanakan ke atas pemaju yang gagal menjual unit masing-masing pada tahun depan.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu membuat beberapa penelitian dari segi undang-undang dan cadangan berkenaan masih dalam peringkat perbincangan.
#B40 #cukai pengosongan #Digital Skim Rumah Pertamaku Digital SRP #Digital SRP #kementerian #Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan #kondominium mewah #M40 #Majlis Tindakan Ekonomi #mekanisme #MTE #rumah #rumah tidak terjual #vacancy tax #Zuraida Kamaruddin
;