Cukai minimum global dijangka disenaraikan dalam Belanjawan 2023 - Deloitte Malaysia

Bernama
Februari 13, 2023 04:45 MYT
Pengarah Percukaian Antarabangsa Deloitte Malaysia Kelvin Yee berkata, sekiranya Malaysia memilih untuk tidak melaksanakannya, hak percukaian tersebut tetap boleh dilaksanakan oleh negara lain yang mahu berbuat demikian. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Deloitte Malaysia menjangkakan Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan semula pada 24 Feb depan, akan turut menyenaraikan pelaksanaan cukai minimum global (GMT).
Firma perkhidmatan kewangan itu berkata, kemungkinan pelaksanaan oleh kebanyakan negara, termasuk Malaysia adalah ketara susulan perkembangan terbaharu yang berlaku di peringkat dunia.
Menurutnya, ini termasuk pengumuman Pakej Panduan Pentadbiran dan Pelaksanaan Yang Dipersetujui oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mengenai GMT serta tindakan Kesatuan Eropah, United Kingdom, Jepun, Qatar, Indonesia, Switzerland dan lainnya membabitkan aspek itu.
Pengarah Percukaian Antarabangsa firma itu, Kelvin Yee juga menegaskan bahawa GMT tersebut tidak bergantung kepada kerajaan yang memerintah.
"GMT ini telah pun disebut dalam ucapan Belanjawan 2023 pada 7 Okt 2022 dan dijadual dilaksanakan pada 2024.
"Malah, kami menjangkakan perkara ini akan ditekankan lagi pada 24 Februari kelak. Tidak seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), cukai keuntungan modal dan cukai warisan yang merupakan pilihan untuk pertimbangan kerajaan, GMT ini adalah sebaliknya.
"Sekiranya Malaysia memilih untuk tidak melaksanakannya, hak percukaian tersebut tetap boleh dilaksanakan oleh negara lain yang mahu berbuat demikian," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Yee berkata, secara ringkasnya, GMT pada kadar 15 peratus adalah tahap rendah baharu bagi kadar cukai efektif (ETR) untuk kalangan syarikat multinasional (MNC) yang besar.
Jelas beliau, MNC boleh beroperasi di negara-negara bercukai rendah, sifar cukai atau yang menawarkan insentif cukai menarik.
Namun, GMT secara global itu akan dilaksanakan bagi memastikan cukai sebanyak 15 peratus itu dapat dibayar di lokasi mana pun di dunia, katanya.
"MNC beroperasi dalam sekurang-kurangnya dua bidang kuasa dengan tumpuan merangkumi pendapatan kumpulan disatukan tahunan berjumlah minimum 750 juta euro dalam dua daripada empat tahun tahun fiskal sebelumnya.
"Oleh itu, ini boleh menjejaskan beberapa kumpulan besar tertentu, terutama kumpulan yang tersenarai di Malaysia dan pelaburan masuk daripada MNC yang berpangkalan di luar negara," katanya.
-- BERNAMA
#Deloitte Malaysia #Belanjawan 2023 #cukai minimum global #GMT
;