CUCKOO lantik duta baharu, serlah diversiti budaya di Malaysia
Amzar Alif
April 1, 2024 18:17 MYT
April 1, 2024 18:17 MYT
JENAMA pencipta kediaman sihat (Healthy Home Creator), CUCKOO International (M) Sdn. Bhd. (CUCKOO) mengumumkan pelantikan barisan duta baharu iaitu penyanyi ikonik negara, Jaclyn Victor dan selebriti berpengaruh, Phei Yong serta penyanyi legenda tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Dengan anjuran kerjasama RIUH, sebuah platform kreatif di bawah MyCreative Ventures, majlis pelantikan tersebut berlangsung dengan gilang gemilang di Bazar CUCKOO x RIUH #SamaSamaRaya di sini.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hoe Kian Choon pelantikan tiga duta besar menjadi simbolik kepada cerminan semangat CUCKOO menjadi jenama “For All Kinds of You” yang memberi inspirasi kehidupan sihat kepada semua lapisan masyarakat.
“Pelantikan barisan duta ini adalah untuk mempamerkan kekuatan budaya diversiti dalam Malaysia yang erat dan dengan kehadiran ketiga-tiga duta ini, kami berhasrat untuk membina hubungan yang lebih erat dengan rakyat Malaysia serta menggalakkan lebih ramai untuk memiliki gaya hidup yang lebih sihat,” katanya semasa menghadiri Bazar CUCKOO x RIUH #SamaSamaRaya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative), Zahariah Johari.
Mesej #SAMASAMAHealthier bakal diterajui menerusi latar belakang unik dan dinamik duta masing-masing sambil berkongsi pengalaman dalam mencapai keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan.
Bazar yang berlangsung selama tiga hari tersebut menyaksikan nyanyian memukau daripada Siti Nurhaliza dan Jaclyn Victor menjadi persembahan pembuka tirai acara sebelum Phei Yong dan hos terkenal, Nabil Ahmad melanjutkan agenda dengan sketsa komedi yang mencuit hati para hadirin.
Penganjuran bazar tersebut sejajar dengan usaha CUCKOO memperkukuhkan lagi komitmen untuk menambat hati rakyat Malaysia dan meluaskan lagi dominasi sebagai jenama pencipta kediaman sihat.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa semua orang tahu yang bazar adalah satu platform hebat untuk mendapatkan pelanggan dan dengan kolaborasi kami di sini kami berharap dapat menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mendalami ilmu mengenai cara gaya hidup yang sihat dan mari lah kita menjadi #SAMASAMAHealthier,” ujar Kian Choon.
Sementara itu, terdapat juga inisiatif kerjasama yang diperkenalkan seperti ‘Kamu Like, CUCKOO Derma’ yang bertujuan untuk mengumpulkan jumlah likes menerusi kempen digital di platform Facebook rasmi CUCKOO bagi penentuan bilangan sumbangan penapis air.
Manakala inisiatif ‘Kamu Derma, CUCKOO Salurkan’ menggalakkan orang awam untuk menyumbang barangan keperluan ke bazar tersebut dan kemudian disumbangkan ke pelbagai rumah kebajikan.
“Menjelang Hari Raya Aidilfitri ini kami berharap rakyat Malaysia dapat bersama-sama CUCKOO membantu golongan yang memerlukan.
“Bantuan ini penting bagi mewujudkan masyarakat yang lebih baik dengan mencipta persekitaran dan kediaman sihat selaras dengan matlamat syarikat kami,” tambah Kian Choon.
Selain itu, rekod positif turut berjaya dikekalkan CUCKOO selama empat tahun berturut-turut dengan mencatat pendapatan sebanyak RM1.111 bilion pada tahun 2023.
#Cuckoo
#Jaclyn Victor
#Phei Yong
#RIUH
#Bazar CUCKOO x RIUH
#SamaSamaRaya
#Hoe Kian Choon
#Siti Nurhaliza