Cuckoo bakal buka kilang di Malaysia

Azyyati Ahmad
Mac 8, 2018 21:36 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif Cuckoo Korea Brian Koo (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Cuckoo Malaysia KC Hoe di sambutan ulangtahun ke 40 jenama itu di Seoul. - Foto Cuckoo
Pengeluar penapis air terkenal, Cuckoo International Malaysia Sdn Bhd bakal membuka kilang di Malaysia tahun hadapan dengan menyasarkan lebih 20,000 peluang pekerjaan kepada warga tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Hoe Kian Choon berkata, kilang pertama Cuckoo di rantau Asia itu akan dibina di sebuah kawasan Pelabuhan Klang, Selangor dengan kos RM100 juta.
Hoe berkata, keputusan ini diambil bagi menampung jualan produk yang semakin meningkat di rantau ini termasuk periuk serbaguna dan penapis udara Cuckoo.
“Ia juga bertujuan untuk memberi balik kepada rakyat Malaysia yang menyokong produk itu,” jelasnya dalam satu temubual ketika lawatan media ke Korea Selatan dari 4 hingga 10 Mac sempena ulang tahun ke-40 produk perkakasan rumah terkemuka itu.
Hoe menjelaskan bahawa dalam jangka masa tiga tahun sejak penubuhan Cuckoo Malaysia pada 2014, ia berjaya merekodkan 300,000 pelanggan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cuckoo Korea Selatan, Brian Koo Bon Hak optimis bahawa Cuckoo akan terus mempertingkatkan kehadirannya di pasaran luar negara.
Brian juga berkata, antara strategi jangka masa panjang adalah mengembangkan sayap ke Vietnam, India dan Indonesia pada tahun ini.
“Hasil jualan pendapatan eksport dijangka memberikan pulangan tahunan sebanyak AS$150 juta bagi tahun ini dan AS$1 bilion pendapatan global dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Sambutan ulangtahun Cuckoo yang ke-40 diadakan di Seoul Dragon City, dan dihadiri 526 peserta termasuk kakitangan Cuckoo Malaysia dan wakil media dari Korea Selatan, Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.
Media diberi peluang untuk melihat penapis air beralkali ringan terbaru Cuckoo-Prince Top yang menampilkan sistem pensterilan elektrolisis yang mampu memberikan air panas dan sejuk tanpa tangki.
Di majlis sama, Cuckoo turut memperkenalkan penyanyi dan pelakon terkenal negara itu, Lee Seung-gi sebagai duta jenama antarabangsanya yang terbaharu.
#Cuckoo #kilang #Korea Selatan #Lee Seung-gi #peluang pekerjaan #penapis air
;